IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Ahad, 10 Mei 2015

Sultan Johor titah pelaksanaan GST harus dikaji

Sultan Johor titah pelaksanaan GST harus dikaji 

 JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim menegur kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
  
"Saya minta kerajaan negeri dan PBT supaya tidak mengenakan GST terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan meminta pengecualian daripada kerajaan persekutuan," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ketiga Dun Johor ke-13, di sini hari ini.
  
Baginda bertitah adalah tidak masuk akal untuk mengenakan GST ke atas perkhidmatan sedemikian memandangkan perkhidmatan kerajaan adalah tanggungjawab asas kepada rakyat dan tidak wajar ia menjadi beban kepada rakyat.
  
Pelaksanaan GST yang bermula sebulan lepas juga harus sentiasa diteliti dan dikaji mengikut kesesuaian keadaan, titah baginda .
  
Mengenai pelaksanaannya, baginda bertitah kajian mendalam telah pun dibuat oleh kerajaan persekutuan sebelum sistem percukaian itu diluluskan, demi kepentingan kerajaan dan rakyat juga.  
  
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek dilaporkan sebagai berkata sebanyak 2,405 pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian itu dibekukan cuti sejak sebulan lepas bagi memastikan setiap aduan mengenai pelaksanaan GST diambil tindakan.
  
KPDNKK turut melantik 427 orang anggota penguat kuasa baru-baru ini untuk memantau aduan orang ramai.
  
Setakat 30 April, KPDNKK telah mengeluarkan 1,026 notis menerusi Ops Catut membabitkan kesalahan menaikkan harga barang.     Persidangan Dun akan bermula Ahad ini hingga 18 Mei.
  
Turut berangkat ke majlis perasmian ialah Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim. – Bernama

Isnin, 23 Mac 2015

Kemahkotaan Johor Jadual Majlis Jamuan Teh Bersama Sultan Johor

Keberangkatan DYMM Sultan Johor ke daerah-daerah

1. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Johor Bahru 28 Mac 2015 (Sabtu) 3.00 Petang Padang Awam Gelang Patah, Johor Bahru

2. Perasmian Masjid di Permas Jaya 3 April 2015 (Jumaat) 12.45 Tengah Hari Permas Jaya, Johor Bahru

3. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Kluang 4 April 2015 (Sabtu) 3.00 Petang Laman Tasik Kluang

4. Persembahan Tatu ATM 4 April 2015 (Sabtu) 8.00 malam Stadium Kluang

5. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Batu Pahat 5 April 2015 (Ahad) 3.00 Petang, Stadium Batu Pahat

6. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Pontian 7 April 2015 (Selasa) 3.00 Petang, Stadium Mini Pontian

7. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Mersing 9 April 2015 (Khamis) 3.00 Petang, Perkarangan Pejabat Majlis Daerah Mersing

8. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Kota Tinggi 14 April 2015 (Selasa) 3.00 Petang, Padang Bukit Kerajaan, Kota Tinggi

9. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Kulaijaya 16 April 2015 (Khamis) 3.00 Petang, Perkarangan Pejabat Daerah Kulaijaya

10. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Muar 18 April 2015 (Sabtu) 3.00 Petang, Dataran Tanjung Emas, Muar

11. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Segamat 19 April 2015 (Ahad) 3.00 Petang, Dataran Segamat

12. Jamuan Teh Rakyat bagi daerah Ledang 20 April 2015 (Isnin) 3.00 Petang, Dataran Ledang

Rabu, 11 Februari 2015

Tuanku Ismail Puji Komitment JDT bersaing dalam ACL

Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) mara sehingga ke pusingan kelayakan kedua, Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015 disifatkan pencapaian yang boleh dibanggakan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata peluang bertanding dalam kejohanan elit kelab Asia itu adalah satu keistimewaan walaupun mereka gagal melangkah ke pusingan seterusnya.

"Kita tidak pernah meletakkan sasaran tinggi bagi Liga Juara-Juara Asia kerana secara realistik kita adalah pasukan yang masih mentah berbanding pasukan handalan Asia," demikian menurut baginda seperti dipetik menerusi Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, berada dalam AFC dan memberikan saingan terbaik sudah menjadi suatu pencapaian untuk kita," tegas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor.

JDT kalah 0-3 kepada kelab Liga Perdana Thailand, Bangkok Glass FC pada pusingan kelayakan kedua di Stadium Leo, Bangkok, semalam.

Mereka sebelum itu menang 2-1 ke atas Bengaluru FC dari India pada pusingan kelayakan pertama ACL di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 4 Februari lalu. Kekalahan itu menyaksikan skuad 'Harimau Selatan' bakal bersaing bersama Pahang dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 yang bermula 24 Februari ini. - BERNAMA

JDT TERIMA KEKALAHAN DENGAN HATI TERBUKA

JOHOR BAHRU: Kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Bangkok Glass FC 3-0 pada aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Leo, Bangkok, kelmarin bukan satu kegagalan. Ketika usia pasukan yang bergelar Harimau Selatan baharu mencecah tiga tahun selepas dirombak oleh kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk memantapkan pasukan itu, seharusnya setiap pemain JDT perlu berdiri megah dan tidak terlalu kecewa. Apa lagi kelab dari Thailand itu yang muncul juara Piala FA Thailand musim lalu sudah berpengalaman beraksi pada saingan kelab tertinggi ketika JDT di bawah bimbingan Bojan Hodak pertama kali bermain di pentas tertinggi itu. Malah, Hodak sendiri mengakui betapa jurang antara kelab di Malaysia dan Thailand masih jauh dan penampilan JDT pada kelayakan ACL boleh dianggap pendedahan terbaik untuk menimba pengalaman. "Kita masih belum mampu tandingi kehebatan pasukan lawan yang sudah berpengalaman beraksi di pentas kelab tertinggi Asia dan saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.

"Malah saya tidak menyalahkan pemain dengan kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya dan saya yakin mereka mendapat pengalaman berguna pada aksi itu yang jelas dikuasai Bangkok Glass FC," katanya ketika dihubungi, semalam. Tanpa mempertaruhkan Marcos Antonio untuk mengemudi benteng pertahanan selepas pemain import dari Brazil mengalami kecederaan termasuk ketiadaan Luciano Figueroa yang diketepikan akibat masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha, Hodak meletak sandaran kepada dua tenaga import, Jorge Pereyra Diaz dan Hariss Harun. Apa pun beraksi di padang rumput sintetik nyata menjejas rentak permainan JDT apabila penguasaan milik Bangkok Glass FC yang mempamerkan corak permainan pantas sehingga sukar buat barisan tengah JDT menyekat pergerakan pasukan lawan. Namun, apa yang boleh dirumuskan kesebelasan utama yang diturunkan oleh Hodak sudah memberi yang terbaik tetapi dinoktahkan dengan kekalahan dan setiap pemain Harimau Selatan harus kembali bangkit untuk meneruskan kembali rentak kemenangan pada saingan Liga.

Aksi seterusnya JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang cuba mengambil kesempatan di atas faktor keletihan anak didik Hodak. Perancangan yang lebih tersusun bakal dilakukan Hodak tatkala akan bersaing pada Piala AFC bermula 24 Februari ini menentang kelab dari India, East Bengal selain akan menentang Balestier Khalsa (Singapura) dan Kitchee FC (Hong Kong). Dua saingan itu dianggap penting buat Hodak dan pastinya kekuatan fizikal dan mental menjadi taruhan terbaik selain memastikan barisan pemain Harimau Selatan tidak mengalami kecederaan serius sepanjang kempen Liga M dan Piala AFC.

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com