IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 19 Januari 2013

Banjir di Johor 1,180 dipindah

 JOHOR BAHRU - Seramai 1,180 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan berikutan banjir di Johor selepas hujan tidak berhenti sejak awal pagi ini.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Laut dan Kampung Sungai Tiram di Johor Baharu; Kampung Baru Sungai Mas di Penawar; Taman Aman, Taman Mawai di Johor Lama dan PPMS Kampung Batu, Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu 10 dan Balairaya Batu 18 Sungai Tiram di Johor Baharu serta    Dewan Kota Kecil, Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Kampung Baru PPMS Teluk Ramunia di Kota Tinggi.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Ismail Karim berkata pihaknya sudah bersiap siaga berikutan makluman kemungkinan banjir di daerah itu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan mangsa di daerah itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada 10 pagi.

"Tinjauan pukul 3 petang tadi mendapati air mulai surut, namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana masih hujan," katanya kepada pemberita.

Ismail menasihati orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah, supaya berhati-hati dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya paras air terus naik di kawasan mereka.

Seorang mangsa yang tinggal di Taman Mawai, R. Prima, 38, berkata beliau dan suaminya sempat memindahkan barang ke tingkat atas rumah dua tingkat mereka sebelum berpindah pada 10 pagi.

Prima berkata ketika banjir pada 2006/2007, air melepasi lantai tingkat satu rumahnya dan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Jason Teoh berkata pihaknya mengagihkan makanan dan air mineral kepada mangsa banjir di Kampung Laut pada sebelah pagi sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Nusajaya Datuk Aziz Sapian dan Pegawai Daerah Johor Bahru Amran A Rahman turut melawat mangsa.

Sementara itu, portal publicinfobanjir.water.gov.my milik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menasihati penduduk di sekitar Batu Pahat agar berjaga-jaga kerana paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah sudah mencapai tahap 5.79 meter, melepasi paras amaran yang ditetapkan. - Bernama

JDTns -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com