IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Selasa, 29 Januari 2013

Lebih RM1 bilion untuk atasi masalah banjir Muar

MUAR - Kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan tiga fasa pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Muar bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini.Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, apabila keseluruhan pembinaan RTB yang meliputi daerah Segamat, Muar, Ledang dan Pagoh itu siap kelak, ia dijangka mampu melindungi 123.2 km persegi kawasan yang dihuni 12,500 orang daripada ancaman banjir.

"Untuk RTB lembangan Sungai Muar Fasa II, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM225 juta yang mana kerja-kerja pembinaannya dijangka dimulakan tidak lama lagi dan siap menjelang tahun 2015."Apabila projek ini siap kelak, ia akan dapat mengurangkan 43 peratus kawasan yang mengalami kesan banjir di daerah Muar dan Ledang," katanya selepas mengadakan lawatan kerja sehari di sini, hari ini.     

Menurutnya antara kawasan di daerah berkenaan yang akan menerima faedah ialah Lenga, Gombang, Liang Batu, Pagoh, Panchor, Tanjung Olak, Jorak, Kundang Ulu, Gersik, Belemang, Bukit Gambir dan Sungai Mati.Katanya, skop pelaksanaan projek RTB Lembangan Sungai Muar Fasa II ini meliputi pembinaan Pintasan Banjir di Tanjung Olak, menaik taraf Sungai Pagoh dan saliran di kawasan Pagoh, pengagihan utiliti dan pengambilalihan tanah.

"Sebagai permulaan untuk projek fasa dua ini, kita akan peruntukkan dahulu RM30 juta untuk Pagoh, disusuli RM100 juta untuk tahun depan dan RM95 juta lagi akan menyusul pada 2015."Dengan siapnya projek ini nanti maka masalah banjir yang sering berlaku sebelum ini akan dapat dikurangkan mengikut tahap yang bersesuaian dan semestinya projek Hab Pendidikan yang sedang dibangunkan di Pagoh akan mendapat manfaaf daripada projek ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan telahpun melaksanakan RTB Lembangan Sungai Muar Fasa I bermula pada tahun 2011 dengan melibatkan kos RM344 juta.Ia melibatkan kerja-kerja reka bentuk, kerja ukur, pengambilan tanah dan menaik taraf sebahgian Sungai Genuang dengan kos RM60 juta, kerja-kerja menaik taraf Sungai Chodan dan Sungai Segamat, menaik taraf jambatan serta membina lencongan Sungai Genuang-Sungai Segamat dengan kos RM231 juta.

Selain itu, RM53 juta juga diperuntukkan untuk membina benteng dan menaik taraf Sungai Gemas, selain membina lima buah kolam takungan banjir dan struktur kawalan air serta membekal dan memasang pam.Sementara itu, bagi melengkapkan penyelesaian bagi masalah banjir di Lembangan Sungai Muar, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia dijangka melaksanakan fasa ketiga projek berkenaan yang dianggar menelan belanja RM480 juta. - Bernama

JDTns

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com