IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Selasa, 1 Januari 2013

Mersing : Mayat mangsa lemas ditemui

Mayat mangsa lemas ditemui
Jamaliah (dua, kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu mayat anaknya tiba.
 


Mayat mangsa lemas ditemui
Ibu Muhamad Azhari sebak dan cuba ditenangkan.



MERSING – Mayat dua remaja yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Air Papan, di sini, Ahad lalu ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat, semalam.
     
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Mohd Alias Hussin berkata, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa pertama, Muhamad Azhari Suranto, 17, kira-kira jam 12.40 petang di Pantai Teluk Buih, di sini, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, mayat Mohamad Hafis Jamuladin, 17, pula ditemui pasukan Gerak Khas pada jam 4.15 petang di kawasan berdekatan tempat kejadian.

“Mayat Azhari ditemui di celah batu Pantai Teluk Buih dan mengalami kecederaan di kepala. Dia ditemui pasukan bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya semalam.

90 anggota cari mangsa

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, pihaknya menambah 20 lagi anggota penyelamat bagi misi mencari mangsa berbanding 70 orang, kelmarin.

“Kami telah menambah anggota bagi misi mencari mangsa lemas dan satu bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada hari ini (semalam).

“Operasi ini bermula sejak laporan diterima dan dilakukan secara berterusan, anggota juga telah membuat rondaan sepanjang 18 batu nautika antara Pantai Penyabong hingga Pantai Teluk Iskandar,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari itu melibatkan Pasukan Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerak Khas.

“Selain pencarian di laut, usaha juga digiatkan di persisiran pantai dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Beritahu hendak pergi jauh

Ibu kepada Mohamad Hafis, Jamaliah Mohd Idris, 52 berkata, selepas pulang dari kerja pada 23 Disember lalu, anaknya itu ada memberitahunya hendak pergi jauh bagi mengikuti rombongan kompang.

Katanya, dia menegur tindakan Hafis supaya tidak bercakap bukan-bukan kerana lokasi rombongan yang ingin ditujui adalah jauh dari Batu Pahat.

“Saya tidak terkejut dengan tindakannya baring di pangkuan saya kerana dia adalah seorang anak yang manja, tetapi apabila dia mengatakan mahu pergi jauh, saya terdiam dan menegurnya.

“Kehilangannya sangat dirasai kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Jamaliah berkata, dia menemui anaknya buat kali terakhir pada jam 2.00 pagi sebelum Muhamad Hafis bertolak ke Pantai Air Papan.

“Dia salam, peluk dan cium pipi saya sebelum keluar rumah pada pagi tersebut. Kenangan tersebut tidak akan saya lupakan,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhamad Azhari, Suranto Fandi, 45, berkata, dia menerima berita kehilangan anaknya, melalui panggilan telefon daripada anak saudara yang turut serta dalam rombongan berkenaan.

“Perasaan tidak sedap hati ketika ingin melepaskan anak saya pergi rupanya petanda yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Ikut arahan, elak tragedi berulang

Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohd Nasir Abd Salam menasihatkan orang ramai yang datang melancong ke daerah ini supaya mengikut arahan dikeluarkan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Tanda amaran bendera merah telah diletakkan di pantai Mersing dan orang ramai tidak dibenarkan turun mandi ke laut kerana bahaya.

“Malah bacaan ombak juga telah meningkat antara 3 hingga 3.5 meter dan kelajuan angin pula adalah 40km/j dilaporkan,” katanya.

Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing, di sini, untuk dibedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua remaja dari rombongan Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Air Papan.

JDTns - Sinar
# sentiasa patuhi amaran untuk mengelakan tragedi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com