Jamaliah (dua, kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu mayat anaknya tiba.
Ibu Muhamad Azhari sebak dan cuba ditenangkan.
MERSING – Mayat dua remaja yang dilaporkan hilang ketika mandi di
Pantai Air Papan, di sini, Ahad lalu ditemui anggota pasukan mencari dan
menyelamat, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah Mersing, Penolong
Penguasa Bomba (PPGB) Mohd Alias Hussin berkata, pasukan penyelamat
menemui mayat mangsa pertama, Muhamad Azhari Suranto, 17, kira-kira jam
12.40 petang di Pantai Teluk Buih, di sini, yang terletak kira-kira 500
meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, mayat Mohamad Hafis Jamuladin, 17, pula ditemui pasukan
Gerak Khas pada jam 4.15 petang di kawasan berdekatan tempat kejadian.
“Mayat Azhari ditemui di celah batu Pantai Teluk Buih dan mengalami
kecederaan di kepala. Dia ditemui pasukan bot penyelamat Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya semalam.
90 anggota cari mangsa
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid
berkata, pihaknya menambah 20 lagi anggota penyelamat bagi misi mencari
mangsa berbanding 70 orang, kelmarin.
“Kami telah menambah anggota bagi misi mencari mangsa lemas dan satu
bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada hari ini (semalam).
“Operasi ini bermula sejak laporan diterima dan dilakukan secara
berterusan, anggota juga telah membuat rondaan sepanjang 18 batu nautika
antara Pantai Penyabong hingga Pantai Teluk Iskandar,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari itu melibatkan Pasukan Polis Marin,
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
dan Pasukan Gerak Khas.
“Selain pencarian di laut, usaha juga digiatkan di persisiran pantai
dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,”
katanya.
Beritahu hendak pergi jauh
Ibu kepada Mohamad Hafis, Jamaliah Mohd Idris, 52 berkata, selepas
pulang dari kerja pada 23 Disember lalu, anaknya itu ada memberitahunya
hendak pergi jauh bagi mengikuti rombongan kompang.
Katanya, dia menegur tindakan Hafis supaya tidak bercakap bukan-bukan
kerana lokasi rombongan yang ingin ditujui adalah jauh dari Batu Pahat.
“Saya tidak terkejut dengan tindakannya baring di pangkuan saya kerana
dia adalah seorang anak yang manja, tetapi apabila dia mengatakan mahu
pergi jauh, saya terdiam dan menegurnya.
“Kehilangannya sangat dirasai kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Jamaliah berkata, dia menemui anaknya buat kali terakhir pada jam 2.00 pagi sebelum Muhamad Hafis bertolak ke Pantai Air Papan.
“Dia salam, peluk dan cium pipi saya sebelum keluar rumah pada pagi
tersebut. Kenangan tersebut tidak akan saya lupakan,” katanya.
Sementara itu, bapa Muhamad Azhari, Suranto Fandi, 45, berkata, dia
menerima berita kehilangan anaknya, melalui panggilan telefon daripada
anak saudara yang turut serta dalam rombongan berkenaan.
“Perasaan tidak sedap hati ketika ingin melepaskan anak saya pergi
rupanya petanda yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,”
katanya.
Ikut arahan, elak tragedi berulang
Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan Daerah, Mohd Nasir Abd Salam menasihatkan orang ramai yang
datang melancong ke daerah ini supaya mengikut arahan dikeluarkan supaya
kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Tanda amaran bendera merah telah diletakkan di pantai Mersing dan
orang ramai tidak dibenarkan turun mandi ke laut kerana bahaya.
“Malah bacaan ombak juga telah meningkat antara 3 hingga 3.5 meter dan kelajuan angin pula adalah 40km/j dilaporkan,” katanya.
Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing, di sini, untuk dibedah siasat.
Semalam, Sinar Harian melaporkan dua remaja dari rombongan Persatuan
Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, dipercayai lemas
ketika mandi di Pantai Air Papan.
JDTns - Sinar
# sentiasa patuhi amaran untuk mengelakan tragedi.