IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Sabtu, 19 Januari 2013

Annuar dakwa kehadiran GGK di Kota Bharu untuk iringi pemain Johor DT

 

Petaling Jaya :  Kehadiran anggota Rejimen ke-21 Grup Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Selasa lalu memang dibincangkan dalam mesyuarat membabitkan wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebelum perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT).

Perkara itu disahkan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui
selepas perlawanan antara FELDA United dan Kelantan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam. Bagaimanapun, katanya kehadiran GGK itu sebenarnya dengan tujuan mengiringi pasukan Johor DT, bukan untuk persediaan andai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli menyaksikan perlawanan terbabit.

“Saya ada tanya seorang pegawai GGK berpangkat mejar ketika ditemui di sebuah hotel di Kota Bharu mengenai tugasan anggota terbabit.

“Mejar itu kata mereka ditugaskan untuk mengiringi pasukan Johor DT. Saya tanya, tak bolehkah iringi tanpa pakaian lengkap tetapi katanya tak boleh. Jadi saya kata okey, saya tak mahu halang.

Beri nama enam VIP

“Saya juga tanya kepada setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim, siapa kenamaan yang akan hadir dan dia beri enam nama tetapi tiada nama Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor.

“Pagi perlawanan saya tanya lagi, pun Suhairi jawab hanya kita-kita saja,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan anggota GGK yang berada di stadium berkenaan, ditugaskan sebagai persediaan langkah keselamatan kerana Sultan Johor dilaporkan akan berangkat menyaksikan perlawanan pada malam itu.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata kehadiran anggota yang berpangkalan di Kem Iskanar, Mersing itu bukan untuk mengawal atau menjaga pasukan Johor DT, sebaliknya sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP).

JDTns- Sukan Berita Harian

Amaran hujan lebat peringkat jingga di Johor

KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi. - Foto Ahmad Othman  KEADAAN Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi yang dinaiki air sejak jam 6 pagi tadi.

JOHOR : Hujan sekejap-sekejap kadang kala lebat di beberapa kawasan di Johor dijangka berterusan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata kawasan terlibat ialah Johor Bahru, Kulaijaya dan Kota Tinggi.

"Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah," kata kenyataan itu.


Sementara itu, amaran peringkat kuning iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Terengganu (Kemaman), Pahang (Pekan, Rompin dan Kuantan) dan Johor (Mersing dan Kluang) dijangka berterusan hingga esok.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah," kata kenyatan itu.

- BERNAMA

Norshahrul penyelamat

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mencatatkan keputusan seri 2-2 pada pertemuan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini semalam.

Perlawanan penuh dramatik itu turut disaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan mencemar duli hadir ke stadium bersama-sama lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan untuk memberikan sokongan.

The Gladiators membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Amiridzwan Taj selepas berjaya menyambar bola hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambry Yahya untuk menewaskan penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat.

Kegagalan pasukan pelawat mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan mengundang padah buat mereka apabila Daniel Guiza pantas menyambar peluang itu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-17 hasil sepakan lambung yang berjaya mengelirukan penjaga gol, Farizal Harun.

Irwan Fadzly Idrus kembali meletakkan skuad kendalian B. Sathianathan mendahului pada minit ke-39 menerusi sepakan percuma.

Seminit kemudian Norshahrul Idlan Talaha menyamakan semula kedudukan hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya.

Penyerang sensasi negara, Safee Sali hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-50, namun tandukannya di dalam kotak penalti hasil hantaran Guiza melepasi palang gol.

Skuad kendalian Fandi Ahmad memiliki peluang berharga untuk mencipta gol kemenangan pada minit ke-70 tetapi sepakan voli Guiza tersasar jauh dan rembatan deras Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak yang menggantikan Safee Sali pada minit ke-71 sekadar terkena tiang gol.

Ketika perlawanan berbaki lapan minit, ATM terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Fitri Omar diarah keluar padang apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran terhadap Mohd. Zaquan Adha.

Jumaat, 18 Januari 2013

Felda Kledang gondol RM1 juta

Abdull Rozak Ahmad Marzuki (berdiri, empat dari kanan) bersama isteri dan anak-anak peneroka yang menyertai program gotong-royong di Felda Kledang, Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI  - Tarikh 7 Julai 2010 cukup bermakna bagi 380 warga Felda Kledang kerana pada hari tersebut tanah rancangan itu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF), sekali gus menggondol RM1 juta.

Bagi mereka, penat lelah dan kesusahan meneroka empat hektar tanah setiap seorang kira-kira 30 tahun lalu berbaloi kerana akhirnya diiktiraf dengan penganugerahan AKKF 2010 iaitu anugerah yang cukup berprestij daripada Felda.

Anugerah itu sebenarnya menjadi pembakar semangat seluruh warga Felda tersebut dengan melakukan pelbagai anjakan berganda dan berikutan itu Felda Kledang terus menyerlah dan meraih kejayaan demi kejayaan dalam semua aspek kehidupan masyarakat di kampung tersebut.

Pengurus Felda Kledang, Abdull Rozak Ahmad Marzuki berkata, setelah menerima anugerah itu, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta seluruh penduduk merancang dan melaksanakan beberapa projek yang boleh memberikan manfaat secara menyeluruh dan berterusan.

"Separuh daripada hadiah kemenangan RM1 juta itu diagih-agihkan kepada 380 peneroka secara tunai, manakala bakinya dimanfaatkan untuk membiayai beberapa projek yang dikendali dan diurus secara bersama oleh Felda dan JKKR.

"Antara projek yang sedang dan telah dilaksanakan adalah pembinaan sembilan unit kedai yang melibatkan kos RM120,000, enam calet (RM120,000), taman kanak-kanak (RM50,000) dan menara surau (RM25,000)," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Abdull Rozak, pihaknya tidak menduga mendapat permohonan yang banyak daripada golongan muda Felda Kledang bagi kedai yang memberikan pengkhususan kepada perkhidmatan motosikal dan kenderaan.

Katanya, Calet D'Harmoni Kledang yang mempunyai enam bilik juga sudah mendapat tempahan walaupun sedang menjalani kerja-kerja kemasan kerana sewa yang dikenakan adalah serendah RM90 sahaja.

Ujarnya, calet di kawasan seluas 0.8 hektar itu menjanjikan suasana berbeza kerana dikelilingi dusun dan tanaman herba, malah sering dijadikan 'rumah bertandang' terutama ketika majlis keramaian seperti perkahwinan, selain kerap dikunjungi warga Singapura yang dahagakan keindahan semula jadi ala kampung.

Bagi memastikan warga tanah rancangan itu terus berdaya saing dalam apa juga keadaan, Abdull Rozak turut menggalakkan peneroka mengusahakan tanaman rebung madu di kawasan terbiar, seluas lapan hektar yang kini menjadi salah satu sumber pendapatan yang cukup lumayan.

Katanya, ladang itu diusahakan Osman Selamat, 60, bersama pasangannya, Siti Zainah Bakri, 50, yang kini mampu memperoleh pendapatan bulanan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000, selain hasil komoditi kelapa sawit seluas empat hektar.

Tambah Abdull Rozak, berkat semangat gotong-royong yang tinggi dan perpaduan serta persefahaman penduduk, Felda Kledang terus melakar sejarah dengan menerima pelbagai anugerah termasuk tempat ketiga dalam Anugerah Persatuan Belia Felda Terbaik peringkat kebangsaan.

Selain itu, pencapaian lain yang dicatatkan adalah Persatuan Belia Cemerlang Negeri Johor, Pintu Gerbang Terbaik sempena Bulan Kemerdekaan dan Surau Cemerlang Negeri Johor yang kesemuanya menerima hadiah dalam bentuk wang tunai.

"Kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada kami semua untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai anjakan berganda bagi membolehkan bangsa Melayu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain," katanya.

JDTns

Johor Darul Takzim FC janji terbaik jumpa ATM

Tunku Ismail berharap pasukan Johor Darul Takzim mempamerkan persembahan terbaik menentang ATM dalam saingan Liga Super malam ini.

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim akan memberikan persembahan terbaik pada pertemuan Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pasukan itu akan menampilkan corak permainan yang berkualiti untuk para penyokong dan seterusnya mencipta kemenangan.

"Kita menghormati ATM, mereka merupakan antara pasukan yang hebat dan memiliki jurulatih hebat. Kita akan pastikan Johor Darul Takzim akan menampilkan permainan bola sepak yang berkualiti.

"Saya berharap pasukan ini akan bermain dengan baik dan mencipta kemenangan," katanya pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, semalam.

Pasukan Harimau Selatan setakat ini masing-masing melakar satu kemenangan, seri dan tewas.

Terbaharu, pasukan yang dibimbing oleh bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad itu terikat 1-1 dengan Kelantan di Kota Bharu, Selasa lalu.

Satu kemenangan ke atas Perak dan tewas kepada pendahulu liga, Pahang 2-3 pada aksi sulung.

Dalam pada itu, Tunku Ismail melahirkan rasa gembira terhadap persembahan pemain import, Daniel Guiza ketika menentang Kelantan, malah yakin pemain yang dipinjam dari Liga Sepanyol itu akan terus beraksi cemerlang selepas ini.

Mengulas mengenai persembahan Safee Sali, Tunku Ismail berkata, pemain itu memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan prestasi sebenarnya dan akan menemui sentuhannya tidak lama lagi.

"Safee sudah lima bulan tidak beraksi ketika di Indonesia, berikan dia sedikit masa. Pengurus pasukan, Fandi Ahmad sedang membantunya untuk mengembalikan sentuhannya," katanya.

Khamis, 17 Januari 2013

TMJ kesal dengan Kelantan

Tunku Ismail sangat kesal dengan Kelantan FA yang tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu telah melahirkan kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang tidak melakukan persediaan bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu pada Selasa (15 Januari).

Tindakan KAFA tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium adalah amat dikesali, titah baginda.

Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata anggota tentera yang kelihatan di stadium ketika perlawanan berkenaan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tunku Ismail menafikan mereka yang lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).

"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada sidang media di kediaman baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK menyaksikan perlawanan terbabit.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

"Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.

Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.

JDTns - BERNAMA

Selasa, 15 Januari 2013

Misi merantai Harimau Selatan

Skuad Kelantan berlatih di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam menjelang perlawanan menentang Johor Darul Takzim, hari ini.

KOTA BHARU - Ibarat 'buku bertemu ruas' - paling tepat menggambarkan pertarungan Kelantan dan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pertembungan buat kali pertama, Kelantan yang menanti selaku juara treble musim lalu tidak sabar menerima kunjungan Harimau Selatan yang dibarisi pemain bintang termasuk bekas penyerang mereka, Norshahrul Ildan Tahala.Bagi ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, beliau optimis pasukan bimbingannya mampu melakar kemenangan bergaya walaupun Johor Darul Takzim diwakili ramai pemain kebangsaan.

`Kita akan menggunakan kelebihan beraksi di Kota Bharu untuk menumbangkan Johor Darul Takzim pada perlawanan tersebut. Di sini (Stadium Sultan Muhammad IV) kita menjadi pilihan menewaskan mana-mana pasukan yang datang."Sokongan padu puluhan ribu penyokong setia pasti menyuntik semangat pemain untuk memperagakan aksi terbaik pada perlawanan itu seterusnya meraih tiga mata penuh,"

katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.Dalam pada itu, Bojan mengakui Johor Darul Takzim sebuah pasukan hebat dan dibarisi oleh ramai pemain kebangsaan dan pemain import seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero."Kita perlu menyekat mereka terutamanya gandingan Norshahrul dan Guiza kerana mereka ini akan memberi masalah sekiranya dibiarkan bergerak bebas."Kita akan memberikan tekanan kepada dua pemain ini. Jika ia berjaya dilakukan mereka pasti berdepan masalah untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Hodak berkata, dia akan tetap menyenaraikan penyerang importnya, Keita Mandjou untuk mengetuai barisan serangan meskipun gagal menyerlah dalam dua perlawanan sebelum ini.Katanya, Keita akan tetap mengetuai jentera serangan dan dia akan terus mengunakan pemain import berkenaan sehingga April ini."Saya tetap memberikan sokongan dan berharap dia dapat menjaringkan gol pada perlawanan yang begitu penting malam ini."Saya tak boleh guna seperti percaturan sebagaimana yang dilakukan oleh jurulatih Pahang dengan merehatkan dua pemain import kerana kita mempunyai masalah pemain tempatan,"

JDTns-utusan

Isnin, 14 Januari 2013

Bot karam: 41 pendatang asing diselamatkan

KOTA TINGGI 14 Jan. - SEBAHAGIAN mangsa bot karam yang berjaya diselamatkan Maritim Malaysia dalam kejadian bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang Kota Tinggi, dibawa menaiki lori di Jeti Marina Tanjung Pengelih di sini hari ini. Dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu, bot itu yang dinaiki 49 orang itu karam setelah dipukul ribut.
 Mereka terdiri daripada 35 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak. Lapan lagi penumpang masih dicari.

 - BERNAMA

KOTA TINGGI 14 Jan. - Anggota Maritim Malaysia menarik bot pancung sepanjang lapan meter yang dinaiki 49 orang pendatang asing dan karam di Teluk Ramunia, Pengerang Kota Tinggi untuk di bawa ke Jeti Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini. - BERNAMA

JOHOR BAHARU 14 Jan. - Sebanyak 41 rakyat asing, dipercayai pendatang tanpa izin diselamatkan manakala lapan lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi awal hari ini.

Mereka yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis Marin itu terdiri dari 35 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak.

Kesemua mereka dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan jeti nelayan Sungai Rengit, Pengerang.

Jurucakap APMM berkata, dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, bot yang dilapor dinaiki 49 orang itu karam setelah dipukul ribut. Operasi mencari dan menyelamat lapan lagi penumpang yang dilapor hilang masih berjalan. - BERNAMA

JDTns- Bernama

Khalwat: Pemuda beri alasan rehat selepas penat bersiar-siar

BATU PAHAT – Seorang pemuda memberi alasan datang ke hotel kerana hanya mahu berehat setelah penat bersiar-siar di sekitar bandar di daerah ini selepas ditangkap khalwat bersama pasangannya.

Pasangan terbabit dicekup oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat, di sebuah hotel di sini selepas pihak berkuasa melakukan operasi mencegah maksiat.

Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mereka terpaksa menunggu lama selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki berada di dalam bilik itu, manakala wanita terbabit dipercayai bersembunyi di dalam tandas.

“Lelaki terbabit yang bekerja di Negeri Sembilan itu hanya mampu tersenyum pada mulanya apabila ditanya mengenai status hubungan mereka. Dia kemudiannya memberikan pelbagai alasan termasuklah hanya berehat sahaja.

“Pasangan berusia lingkungan 20an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah pasangan terbabit membukanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam tandas bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Saiful berkata, pasangan terbabit ditahan untuk dokumentasi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu. Tangkapan ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Operasi yang dilakukan ini adalah untuk terus membendung perbuatan sumbang yang semakin membimbangkan di kalangan anak-anak muda yang semakin banyak sejak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

JDTns

Hentian bas, teksi jadi pusat rekreasi

PONTIAN - Tapak perhentian bas dan teksi lama dan gerai-gerai di Jalan Dewan di sini akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi serta medan selera berkonsep moden demi keselesaan orang ramai.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunos berkata, perancangan awal sedang dilakukan dengan merobohkan bangunan tersebut yang tidak lagi beroperasi selepas semua operasi bas dan teksi berpindah ke terminal pengangkutan awam yang baru di Pusat Perdagangan Pontian.

Katanya, pembangunan semula yang dirancang mampu menjadi satu tarikan baru kepada orang ramai memandangkan kawasan itu terletak berhampiran Sungai Pontian Kecil serta pesisiran pantai Pontian.

"Bagi menepati sebuah bandar yang selesa serta memenuhi keperluan orang ramai, MDP sentiasa berusaha menjadikan bandar Pontian Kecil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rekreasi serta medan selera.

"Turut menerima impak daripada pembangunan semula ini ialah para peniaga pasar malam yang kini beroperasi di tapak perhentian bas dan teksi lama pada setiap Jumaat dan Isnin," katanya selepas melawat kerja-kerja merobohkan bangunan perhentian bas dan teksi lama di sini baru-baru ini.

Miswan berkata, turut terlibat dengan pembangunan semula itu ialah 25 gerai yang merupakan baki kepada gerai-gerai yang telah dipindahkan ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian yang baru.

Menurutnya, MDP akan membantu para peniaga yang ada sekiranya kerja-kerja pembangunan dilaksanakan kelak bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan di tempat yang sesuai.

Ditanya tentang kerja-kerja pembinaan jambatan kedua Pontian yang merentangi Sungai Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian, beliau memberitahu, kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh pemaju dan apabila siap kelak akan memendekkan perjalanan antara bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian.

JDTns- utusan

Konvoi kutip dana bantu rakyat Gaza

Tunku Hassan Tunku Mahammed Archibald (tiga dari kanan) diiringi Ismail Yatim (dua dari kanan) mengibarkan bendera negeri Johor dan Jalur Gemilang sebagai tanda pelepasan konvoi Bike for Gaza di Taman Molek, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Jan. - Prihatin terhadap kesengsaraan yang terpaksa ditanggung rakyat Palestin, seramai 120 individu berkonvoi ke enam daerah termasuk Johor Bahru dengan menaiki 95 buah motosikal berkuasa besar bagi mengutip dana mengisi tabung Gaza hari ini.

Peserta program anjuran ITS Success Services iaitu sebuah syarikat persendirian yang mengadakan program kebajikan yang dinamakan Bike For Gaza itu dilepaskan oleh Penasihat Kehormat Johor Bikers, Tunku Hassan Ibni Almarhum Tunku Mahammed Archibald.

JDTns - utusan

Fandi hanya bawa 'pejuang' ke KB

Norshahrul Idlan Talaha (tengah) ceria dan bersemangat pada sesi latihan Johor Darul Takzim di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam menjelang pertembungan Liga Super menentang Kelantan, esok.

JOHOR BAHRU - Bersediakah penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha berdepan dengan bekas pasukannya The Red Warriors pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu,esok.

Mampukah penyerang sensasi itu menghadapi tekanan dan cemuhan yang pastinya menanti beliau ketika berkunjung menentang Kelantan sekali gus membawa pasukan barunya yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang mencapai kemenangan.

Kecergasan Norshahrul atau Mat Yo itu juga difahamkan berada pada tahap terbaik, jadi tiada sebab untuk Norshahrul yang dipalit kontroversi perpindahannya menyertai skuad Harimau Selatan tidak diturunkan pada perlawanan itu nanti.

Tinjauan di padang Seri Gelam, venue latihan Johor Darul Takzim semalam mendapati sesi tersebut berjalan lancar dan Mat Yo kelihatan ceria menjalani latihan.

Namun, usaha untuk menemuramah Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu juga gagal kerana difahamkan mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang ulasan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Fandi Ahmad menyifatkan perlawanan menentang Kelantan pasti sukar memandangkan reputasi pasukan tersebut selaku penyandang juara musim lalu selain terkenal dengan corak permainan pantas.

Untuk itu, beliau mahu pemain memberikan fokus sepenuhnya dan perlu 'panas' dengan cepat sekali gus memastikan tidak memberi ruang kepada pasukan lawan.

"Kita hanya boleh membawa fighters (pejuang) ke Kelantan, semua pemain perlu berdisiplin, bersedia dengan mental dan fizikal yang kuat serta agresif jika benar-benar mahu mengalahkan Kelantan.

"Kita perlu menyekat kemaraan Kelantan di awal permainan, jika tidak kita bakal berdepan masalah besar," katanya.

JDTns- utusan sukan

Sabtu, 12 Januari 2013

Harimau Selatan atasi aksi 9 pemain Perak

Pemain pasukan Johor Darul Takzim, Aidil Zafuan menanduk bola ke gawang pasukan Perak dalam suasana kelam kabut dalam kotak penalti pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. Johor Darul Takzim menang 1-0. - 
 


JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim melakar kemenangan sulung selepas menewaskan Perak 1-0 yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada separuh masa kedua pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, semalam.

Gol kemenangan Harimau Selatan diperoleh menerusi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-47 dan kejayaan meraih tiga mata itu ternyata menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Harimau Selatan.
Selepas tewas 2-3 kepada Pahang baru-baru ini, jurulatih, Fandi Ahmad melakukan sedikit rombakan dengan meletakkan Aidil Zafuan dan Mohd. Faizal Mansor di posisi pertahanan bergandingan bersama Azmi Muslim dan Muslim Ahmad manakala Mohd. Zamir Selamat menggantikan Muhammad Al-Hafiz Hamzah sebagai penjaga gol.

Penguasaan tuan rumah bermula seawal minit keenam apabila Safiq Rahim hampir membuka tirai jaringan melalui sepakan lambung dari luar kotak penalti, namun sedikit tersasar dan tandukan Aidil selang empat minit hasil sepakan penjuru sekadar melepasi palang.

Tuan rumah memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan ke-26 apabila diberikan sepakan percuma namun sepakan Safiq Rahim dinafikan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Farizal Marlias.
Malang buat skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila Khairi Kiman dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning pada minit ke-37 sebelum Mohd. Hisyamudin Mohd. Shaari muncul pemain kedua Perak mendapat kad merah, lapan minit kemudian.

Kelebihan dua pemain itu ternyata membuka peluang kepada tuan rumah mendapatkan gol dan Aidil Zafuan akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya menanduk masuk gol tunggal perlawanan hasil sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-47 menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Perak hampir mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan, namun tandukan Rafael Souza Silva Novais pada minit ke-53 sekadar terkena palang dan tandukan susulan rakan sepasukannya Muhd. Shahrom Abd. Kalam melepasi palang gol.

Kemasukan Safee Sali pada minit ke-55 menggantikan Azmi Muslim tidak banyak memberikan impak kepada pasukan tuan rumah yang dilihat banyak mempersia-siakan peluang untuk menambah bilangan gol.
Nurul Azwan Roya gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk menambah bilangan gol pada minit ke-90 apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti tersasar jauh.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan harus berterima kasih kepada kecemerlangan kepada penjaga golnya, Mohd. Hamsani Ahmad yang berjaya menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya mengikat Terengganu dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bekas penyerang Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona gagal menterjemahkan deretan peluang dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan lebih banyak tertumpu kepada pasukan pelawat.
 
jdtNS- utusan sukan

Isnin, 7 Januari 2013

Rangka terbakar : Polis temui petunjuk baru

KOTA TINGGI - Susulan penemuan rangka manusia dalam sebuah kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit Persatuan Nguangxi Johor berhampiran jalan pintasan Kota Tinggi kelmarin, polis mengesahkan rangka itu sebagai mayat seorang lelaki berbangsa Cina berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, berdasarkan hasil bedah siasat, lelaki itu dipercayai dibunuh sebelum kenderaan jenis Fortuner milik mangsa dibakar di ladang kelapa sawit terbabit.

Polis juga menemui satu petunjuk baru apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membuat laporan mengenai kehilangan bapanya yang juga seorang kontraktor, di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, kira-kira jam 11.20 pagi, 5 Januari lalu.

“Remaja itu turut memaklumkan bapanya gagal dihubungi sejak 5 Januari lalu dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Berdasarkan laporan, dia juga memberitahu bapanya membawa kereta jenis yang sama dengan kenderaan yang ditemui di ladang kelapa sawit itu.

“Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan pelbagai sudut termasuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti warisnya  yang sebenar,” katanya.

Che Mahazan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, niat seorang pekerja ladang, Norlee Hazalee,34, hendak memulakan kerja terbantut apabila menjumpai rangka manusia di dalam sebuah kereta jenis Toyota yang telah hangus terbakar.

Dia yang terkejut segera memaklumkan kejadian itu kepada pemilik ladang sebelum membuat laporan polis.

Sabtu, 5 Januari 2013

Senarai Pemain Johor Darul Takzim FC 2013

JOHOR DARUL TAKZIM FC (2013) 



NAMA PASUKAN Johor Darul Takzim FC


Formerly known as Johor FC






GELARAN Harimau Selatan

STADIUM Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunus






PRESIDEN Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim





PENGURUS PASUKAN Fandi Ahmad

PEN. PENGURUS Mohd Zahir Said






JURULATIH Fandi Ahmad

PEN. JURULATIH Ismail Ibrahim





JURULATIH PENJAGA GOL Mohd Effendy Kamsah






PENCAPAIAN 2013 Liga Super - Ke 9


Piala FA - Suku Akhir


Piala Malaysia - Suku Akhir 















Jersi Nama T/Lahir Pasukan Sebelum Warganegara
  Mohd Zamir Selamat (PG) 9-Jun-89 Johor FC Malaysia
  Reuben Thayaparan a/l Kathiripillai 2-Apr-90 ATM FA Malaysia
  Mohd Azmi Muslim 17-Oct-86 ATM FA Malaysia
  Mohd Muslim Ahmad 25-Apr-89 Terengganu FA Malaysia
  Mohd Aidil Zafuan Abd Razak 3-Aug-87 ATM FA Malaysia
  Mohd Zaquan Adha Abd Razak 3-Aug-87 ATM FA Malaysia
  Mohd Safiq Rahim 5-Jul-87 Selangor FA Malaysia
  Daniel González Güiza 17-Aug-80 Getafe FC (Loan) Sepanyol
  Mohd Nurul Azwan Roya 25-Jun-86 Kelantan FA Malaysia
  Ahmad Tarmini Saiban 27-Aug-78 Johor FA Malaysia
  Zulfadli Mohamed (PG) 12-Apr-92 Johor FA Malaysia
  K. Sathiya 29-Jan-90 Johor FA Malaysia
  Mohd Syazwan Zainon 13-Nov-89 Johor FC Malaysia
  Azi Shahril Azmi 20-Sep-85 Johor FC Malaysia
  Safee Sali 29-Jan-84 Pelita Jaya, Indonesia Malaysia
  Shafizan Hashim 2-Sep-82 Johor FC Malaysia
  Ahmad Fauzi Shaari 30-Apr-82 Johor FC Malaysia
  Mohd Anis Faron Arsidi (PG) 4-Jun-90 Johor FC Malaysia
 


 
  Norshahrul Idlan Talaha 8-Jun-86 Kelantan FA Malaysia
  Simeone Del Nero 4-Aug-81 Cesena, Italy Itali             

JADUAL RASMI LIGA MALAYSIA 2013



LIGA SUPER ---> Di Sini
LIGA PREMIER ---> Di Sini

'Lembaran baru' bagi industri filem dan TV serantau

Hollywood of South East Asia - Pinewood Iskandar Malaysia Studios

 


'Lembaran baru' bagi industri filem dan TV serantau

SELEPAS pembangunan beberapa institusi pendidikan dan taman bertema LegoLand, Wilayah Iskandar Malaysia di Johor kini menumpukan perhatian pada usaha membangunkan sebuah taman perfileman ala Hollywood - Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Seluas 50 hektar, atau 70 padang bola sepak, ia dikatakan dapat membuka lembaran baru bagi industri perfileman dan televisyen di rantau ini, termasuk Singapura, ekoran keupayaannya memperkenal kepakaran terbaik industri tersebut, termasuk dari Hollywood.

Kemudahan di studio bersepadu terbesar Asia Tenggara itu akan dibuka secara bertahap mulai Mei tahun depan.

Apabila siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan, ia akan mempunyai dua studio televisyen seluas 12,000 kaki persegi setiap satu yang dapat memuatkan 1,400 penonton dan lima pentas perfileman dengan keluasan antara 15,000 dengan 100,000 kaki persegi setiap satu.

Pentas terbesar itu akan dilengkapi sebuah tangki air bagi membolehkan penggambaran dalam air.
Studio itu akan mempunyai juga pusat pos penerbitan teknologi canggih, bengkel menghasilkan setset penggambaran dan pentas luar seluas 10 hektar.

Mendedahkan rancangan itu kepada Berita Harian dalam satu temu bual eksklusif di tapak binaan studio di Nusajaya baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Encik Michael Lake, berkata projek itu telah mencetuskan keghairahan dalam industri perfileman dan penerbitan seluruh dunia, termasuk Hollywood, Bollywood, Eropah, Australia dan Singapura.

Lokasinya yang dekat dengan negara ini - 15 minit perjalanan kereta dari Pusat Pemeriksaan Tuas - membolehkan syarikat penerbitan dan pembikin filem Singapura merealisasikan skrip mereka ke layar siaran menerusi studio itu dengan mudah kelak.

Menyifatkan studio itu sebagai 'sebuah pusat beli-belah' yang membolehkan penerbit dan pembikin filem menyewa ruang kalis bunyi berhawa dingin, Encik Lake menjangka kemudahan itu membawa masuk hasil berjumlah RM1.9 bilion ($760 juta) menjelang 2020.

Kawasan di belakang studio itu, seluas 30 hektar, ialah tanah simpanan yang boleh digunakan bagi meluaskan studio itu jika perlu.

"Hasil yang diramal ini termasuk perbelanjaan menerusi industri pemakanan, perhotelan, pembinaan, runcit dan bermacam-macam lagi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Dan saya pasti syarikat Singapura juga dapat berkongsi menikmati hasilnya," kata Encik Lake.
Satu lagi tarikan yang dijangka menarik syarikat industri penerbitan Singapura ialah sebuah perkampungan media di sebelah studio itu, Media@Medini.

Di situ, syarikat baru yang mahu memulakan usaha penerbitan dan syarikat yang menyewakan peralatan studio boleh bertapak.

Penubuhan kursus ijazah seni sinematik di kampus terbaru Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Educity yang berdekatan dijangka dapat melatih ramai karyawan perfileman, dan studio itu boleh dijadikan wadah bagi pelajar menjalani latihan, kata Encik lake.

Kursus itu ialah usaha sama antara MMU dan Universiti Southern California - universiti ulung yang melahirkan ramai pembikin filem tersohor, termasuk Encik George Lucas.

Encik Lake, 70 tahun, mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam bidang penerbitan dan pengurusan perfileman di Amerika Syarikat, Australia dan Asia. Antara filem yang beliau terlibat terbitkan ialah The Matrix Trilogy, Ocean's 11 & 12, Miss Congeniality, Three Kings dan Charlie and The Chocolate Factory.
Studio perfileman asal Britain itu dijangka membawa masuk teknologi dan kepakaran terkini dari Hollywood and Britain ke rantau ini.

Misalnya, Pinewood, yang mempunyai operasi di Britain, Canada, Republik Dominican, Berlin dan Los Angeles, bertanggungjawab menghasilkan hampir kesemua filem Superman dan James Bond, termasuk filem terbaru perisik Inggeris itu, Skyfall.

Ditanya apakah studio di Nusajaya itu akan melahirkan filem-filem blokbuster Hollywood, Encik Lake berkata sebagai permulaan beliau menyasarkan filem dengan bajet antara AS$5 juta ($6.16 juta) hingga AS$20 juta.

Beliau menyifatkan pasaran perfileman India sebagai sebuah pasaran kuat bagi studio itu kerana "kos AS$15 juta bagi sebuah penerbitan Bollywood memenuhi kriteria kami".

"Dengan rebat tunai 30 peratus yang diberi kerajaan Malaysia kepada setiap penerbitan yang dihasilkan di sini, ia tentunya menarik.

"Namun ia tidak bermakna kami menolak filem-filem blokbuster Hollywood. Ia akan datang. Bahkan, saya akan menemui Hollywood di Los Angeles tidak lama lagi dan mungkin akan timbul minat," kata Encik Lake.


JDTns - iskandarmalaysia.com.my


Khazanah Nasional, Pinewood Shepperton sasar bangun fasa kedua

PRASARANA disediakan  Studio Pinewood Iskandar Malaysia dijangka mampu menarik penggiat  filem antarabangsa untuk melakukan penggambaran   di studio itu. PRASARANA disediakan Studio Pinewood Iskandar Malaysia dijangka mampu menarik penggiat filem antarabangsa untuk melakukan penggambaran di studio itu.
 
ISKANDAR Malaysia Studios Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Khazanah Nasional Bhd dengan studio perfileman utama United Kingdom, Pinewood Shepperton plc, akan meneruskan pembangunan fasa kedua projek Studio Pinewood Iskandar Malaysia jika fasa pertamanya bernilai RM300 juta yang sedang dimajukan mencatat kejayaan memberangsangkan.
Ketua Eksekutifnya, Michael Lake, berkata, apabila dilaksanakan nanti, studio itu bakal muncul antara studio perfileman terbesar di dunia,

“Bagi pembangunan fasa pertama ini, kami hanya menggunakan 20 hektar daripada tanah seluas 32 hektar yang kami miliki.

“Baki 12 hektar lagi akan dimajukan dalam fasa kedua. Bagaimanapun pembangunannya bergantung kepada kejayaan fasa pertama ini. Apabila dimajukan nanti, Studio Pinewood Iskandar Malaysia ini bakal menjadi antara studio perfileman terbesar di dunia,” katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fasa pertama projek studio yang dimulakan pembinaannya pada Oktober 2010 dan dijangka siap pada Mei tahun depan itu dianggarkan mampu menjana keuntungan ekonomi sebanyak RM1 bilion kepada Malaysia dalam tempoh lapan tahun, serta mewujudkan 8,000 peluang pekerjaan.

Ia bakal dilengkapi kemudahan lima pentas filem masing-masing berkeluasan antara 15,000 hingga 30,000 kaki persegi, dua studio televisyen dengan setiap satu berkeluasan 12,000 kaki persegi, 36 bilik persalinan, enam bilik persolekan, ruang pejabat, bengkel, kemudahan pasca produksi serta sambungan jalur lebar berkelajuan 1Gbps.
Lake berkata, pihaknya giat menjalankan kempen bagi menarik penerbit dan pengarah filem antarabangsa untuk melakukan penggambaran filem di studio itu.

“Ia cabaran utama saya ketika ini namun ia bukan halangan kerana banyak faktor boleh menjadi daya penarik seperti kebolehan rakyat negara ini berbahasa Inggeris dengan baik, banyak lokasi yang menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran,” katanya. 
JDTns- bernama

Liga-M: Johor Darul Takzim tiup nafas baru?


Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (Matyo)


Safee Sali
Safee Sali

KEMUNCULAN Johor Darul Takzim (JDT) atau nama lamanya Johor FC pasti mencuri tumpuan apabila kempen Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirainya dengan perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam esok.

Piala Sumbangsih merebut trofi Sultan Ahmad Shah itu melibatkan juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, peminat bola sepak tempatan sudah pasti akan memberi tumpuan kepada pasukan JDT dengan deretan pemain bertaraf lima bintang termasuk gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Mohd Sali.

Lebih-lebih lagi, Presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengisyitharkan skuad kendalian bekas lagenda Singapura, Fandi Ahmad, mampu menyapu bersih tiga gelaran musim ini iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Nyata sekali, baginda telah mencetuskan fenomena baru dalam kempen Liga Super musim ini dengan membariskan pemain berstatus bintang dengan matlamat menjadi juara, sekali gus menjadi pasukan yang digeruni dan disegani oleh pihak lawan.
Pasukan Harimau Selatan itu turut disertai pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim.

Bagi melengkapkan koleksi pemain bintang, JDT turut menyenaraikan bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain kelan Lazio dalam Serie A, Simone Del Nero dari Itali.
Dalam kancah bola sepak, kehadiran pemain berstatus bintang tidak semestinya menjanjikan kejayaan kepada sesuatu pasukan dan ini tidak terkecuali bagi pasukan JDT, yang digelar sebagai 'Manchester City Malaysia'.

Selain JDT, pasukan lain dalam Liga Super juga melakukan persiapan rapi termasuk juara trebel musim lepas, Kelantan, ATM, Terengganu, Pahang, Selangor serta pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII.
Pasukan Lions XII, pada penampilan sulung musim lepas, berjaya menempa nama apabila muncul naib juara Liga Super tetapi pada musim ini, pasukan Singa Utara itu dijangka membariskan skuad bawah 23 tahun.

Kehadiran skuad 'Singa Muda' itu adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar, pada hujung tahun ini.

Berbanding musim lepas, kempen 2013 dianggap sebagai musim paling mengujakan bagi peminat bola sepak tempatan dengan kehadiran 41 pemain import mewakili pasukan negeri dan kelab berbanding 26, musim lepas.

Kehadiran pemain import serta kemunculan JDT dilihat mampu menghangatkan lagi suasana pertandingan serta berpeluang meniup nafas baru kepada peminat bola sepak tempatan untuk kembali semula ke stadium bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan masing-masing. - Bernama

JDTns - Bernama Sukan

Isu Mat Yo: Annuar mahu Tunku Ismail profesional

Milik Mat Yo
Mat Yo



PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memintanya menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha.

Annuar berkata, dalam isu penyerang itu, yang turut dikenali sebagai Mat Yo, yang patut berhenti drama dan bersikap profesional adalah Tunku Ismail sendiri kerana isu tebus kontrak adalah antara pemain itu dengan bekas majikannya.

“Sebenar saya belum pernah membuat sebarang komen secara langsung terhadap Presiden PBNJ kerana saya memandang tinggi dan hormat statusnya sebagai seorang anak Raja bergelar Tengku Mahkota.

“Namun hari ini saya terpanggil memberi reaksi dan juga ingin menegur Presiden PBNJ agar  jangan keterlaluan dalam berkata atau berbuat sesuatu kerana dalam sukan dan persatuan hanya ada satu peraturan untuk semua tanpa adanya beza berasaskan ras, warna kulit, pangkat atau keturunan,” kata Annuar yang dipetik menerusi laman Facebokknya, semalam.

Dalam laporan semalam, Tunku Ismail mahu Annuar menghentikan drama dan politik melibatkan Mat Yo.

Baginda juga mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.
Tunku Ismail memberi jaminan Mat Yo akan membayar harga tebus kontrak seperti diminta Kafa.

"Jangan panjang-panjangkan cerita. Dia (Mat Yo) akan bayar (harga tebus kontrak) pada hari ini. Anda (Annuar) perlu matang. Dalam sukan bola sepak, mesti ada pemain yang datang dan pergi. Anda perlu terima dan bersikap profesional.

"Sebagai contoh, jika satu hari nanti Safee Sali mahu keluar dari pasukan, saya akan terima. Beliau (Annuar) sepatutnya berterima kasih kepada Mat Yo atas sumbangan diberikan dan bukannya bercakap benda kurang menyenangkan terhadap pemain ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berkata, Mat Yo akan menjelaskan bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 seperti ditetapkan oleh FAM.

Mengulas mengenai jumlah bayaran harga tebus kontrak sebanyak RM250,000 yang ditetapkan oleh FAM seperti yang dinyatakan Tunku Ismail, Annuar menyifatkan kenyataan Presiden PBNJ itu satu pembohongan.

Beliau menegaskan, isu tebus kontrak tidak kena-mengena dengan pihak ketiga iaitu PBNJ, malah kenyataan Tunku Ismail adalah bukti campur tangan dan 'inducement' di luar peraturan dan etika oleh Johor yang menjadi punca isu semasa.

“PBNJ hanya terkait isu perpindahan yang kita tiada halangan mengenainya bila isu tebus kontrak oleh Mat Yo selesai.

“Jadi, isu kontrak tak ada kena-mengena dengan PBNJ. Mereka tak perlu memberi  jawapan kononnya hari ini nak bayar RM250,000 dan kononnya FAM sudah putuskan jumlah tersebut, ia adalah satu pembohongan.

“Sedangkan FAM belum membuat keputusan, lagipun FAM sudah menetapkan bahawa kedua pihak Kafa dan Mat Yo memfailkan afidavit untuk dinilai oleh Jawatankuasa Status Rayuan,” ujarnya.
Tambah Annuar: “Setakat yang kita tahu jawatankuasa belum lagi berbuat demikian, kita belum dimaklum apa-apa dan kita tunggu saja."

“Jadi, tidak perlu Presiden PBNJ cuba menggunakan nama FAM. Had RM250,000 yang dirujuk adalah had bayaran perpindahan kiranya antara kelab gagal sepakat, namun ia tidak merujuk kepada jumlah pampasan terkait dari ingkar kontrak antara kedua-dua pihak yang ada prosedur menentukannya," katanya.
Sehubungan itu, Annuar mahu Presiden PBNJ yang jauh lebih muda daripadanya agar turut belajar jadi matang dan jangan berdrama serta mengelirukan fakta.

“Tunku Ismail perlu belajar merendah diri, sabar mengikut peraturan dan biarlah benar-benar profesional sebelum mahu menegur persatuan atau orang lain,” jelas beliau.

JDTns - Sukan Sinar

Jumaat, 4 Januari 2013

Pengerang : Tanam mayat 15 inci adakah benar ?

 
 
Kami sebagai anak jati johor darul takzim mahukan penjelasan kepada semua yang tebabit mengenainya. adakah isu ini benar, jika benar ianya amat-amat mendukacitakan. harap ada pihak memberi penjelasan.
 
DARI :  Mazlan Aliman

Tanam mayat 15 inci?

Untuk pengetahuan, pendedahan yang saya buat mengenai kerja2 mengorek kubur dan memindah mayat berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kg Jawa Laut, Kg Jawa Darat dan Kg Sebong yang terletak di Parlimen Pengerang.

Ahli Parlimennya ialah Dato' Seri Azalina Othman Said, juga Ketua Umno Bahagian Pengerang.
Lesen untuk menggali semula mayat di bawah Seksyen 10(B) Enakmen Perkuburan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dikeluarkan kepada PIJ Holdings Sdn Bhd.

Mengikut kenyataan Penolong Pengarah Wakaf, Majlis Agama Islam Johor, Mustapahayuddin Abd Halim, syarat yang perlu dipatuhi untuk tapak tanah kubur yang baru ialah samada ia mesti lebih luas daripada tapak yang hendak diambil atau nilai tanah tapak kubur baru itu mesti lebih tinggi daripada tapak sedia ada atau kedua2nya.

Realiti sebenarnya sangat menyedihkan. Tapak baru seperti dlm lesen di Plot PTD 54492, Punggai, becak, bergenang air dan tanah lembik. Mayat yang di tanam pula hanya kedalaman 15 inci sahaja!
Ia diukur sendiri oleh Skuad Pemantau Ngo Pengerang yg diketuai sdr Zaaba.

Kerja pemindahan yang sepatutnya dipantau hingga selesai oleh Pihak Berkuasa Agama, Jabatan Kesihatan, Polis, Ketua Kampung dan Imam terbabit telah tidak dilakukan.

Skuad pemantau telah menegur secara baik kontraktor terbabit, namun jawaban balas sangat menyedihkan. Langsung tiada sensitiviti agama!

Laporan polis dibuat pada 25 Dis lalu di Balai Polis Sg Rengit dan aduan juga dilakukan kpd Pihak Berkuasa Agama agar kerja2 mengorek dan memindah mayat2 dihentikan serta merta!

Susulan dari episod menyedihkan ini, 4 Jan ini, saya akan mengiringi deligasi penduduk Pengerang dan Ngo2 untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Mufti Johor. Kami mohon penjelasan dan tindakan segera dari pihak Mufti.

Dakwa kontraktor itu kubur tanpa waris. Skuad Pemantau akan menyegerakan referandum menjejaki waris2 semua 11 tanah perkuburan Islam di kampung2 yg terlibat. Kita akan dedah pembohongan Kontraktor dan membuat gesaan agar hentikan samasekali kerja gila mengorek dan memindah semua Tanah Perkuburan!
Kita yakin majoriti waris tidak akan setuju kubur dan mayat keluarga mereka diperlaku demikian.

Rakyat boleh nilai sendiri, macamana akhlak Kerajaan Johor mengurus mayat2 tersebut. Adakah mereka boleh berlepas tangan?
 
 JDTns -  Mazlan Aliman
 

Khamis, 3 Januari 2013

Bapa rayu kesan Aizuddin

Bapa rayu kesan Aizuddin
Ahmad Ridwan menunjukkan gambar abangnya, Aizuddin yang menghilangkan diri sejak 7 Oktober lalu.



MUAR - Seorang bapa merayu bantuan orang ramai mengesan anak lelakinya berusia 25 tahun, yang gagal pulang selepas keluar rumah di Taman Temenggong Ahmad, di sini, sejak lebih dua bulan lalu.

Ishak Yunos, 56, berkata, anaknya, Aizuddin, keluar seorang diri menaiki motosikal dari rumahnya, jam 8.45 pagi, 7 Oktober lalu, dengan membawa kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu.

Menurutnya, Aizuddin dipercayai mengalami gangguan yang dialami sejak awal tahun lalu.

“Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang tetapi melalui semakan akaun banknya didapati dia ada mengeluarkan wang melalui mesin ATM di Endau pada awal November  dan kemudian di Bahau, Negeri Sembilan, 19 November lalu.

“Selepas itu, Aizuddin tidak lagi mengeluarkan wang dan keluarga bimbang dengan keselamatannya.

“Kami ada beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bapa kepada enam anak itu berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan Aizuddin termasuk mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan tahlil khusus, tetapi menemui jalan buntu.

“Aizuddin adalah anak ketiga dan mempunyai ketinggian lima kaki tujuh inci, kurus dan berkulit sawo matang,” katanya.

Ishak berkata, anaknya yang berkelulusan dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mula berkelakuan aneh apabila mendalami ilmu agama semasa menetap di Pasir Gudang.

Dia memberitahu, anaknya belajar agama di sebuah taman di Johor Bahru.

“Dari Januari hingga Mac 2012, keadaannya makin teruk hingga memaksanya pulang semula ke Muar Mac lalu.

“Kami membawanya berubat di merata tempat termasuk di hospital dan mendapat rawatan secara Islam dan tradisional tetapi masih belum pulih," katanya.

Katanya, Aizuddin sebelum ini pernah  hilang pada 22 September lalu tetapi ditemui semula pada 27 September di sebuah belukar berdekatan surau dalam keadaan badan berlumpur.

"Sesiapa yang menemui atau mengenalinya diminta hubungi di talian 012-6128720.

JDTns- SINAR

Mufti minta tangguh pindah kubur

Mufti minta tangguh pindah kubur
Mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Kiyai Shamsudin melawat tapak perkuburan baru yang terletak di Kampung Punggai, Pengerang, Kota Tinggi - Foto Bernama



PENGERANG - Jabatan Mufti Negeri Johor akan mengemukakan surat cadangan kepada Unit perancang ekonomi negeri Johor (Upen) supaya menangguhkan sementara kerja pemindahan kubur Islam dari tujuh kampung yang terlibat dengan projek Rapid Pengerang.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin berkata, proses tersebut akan ditangguhkan sementara waktu bagi menunggu tapak perkuburan baru di Kampung Punggai yang bakal menempatkan pemindahan sebanyak 1545 kubur itu siap sepenuhnya.

Katanya, mengenai rungutan penduduk berkenaan jarak tapak kubur baru yang terlalu dekat, pihaknya akan mengambil perhatian  dan memastikan pada masa akan datang jarak kubur dijarakkan sejauh tiga kaki.
“Hasil lawatan di tapak perkuburan tersebut kita dapati terdapat beberapa perkara perlu diambil kira seperti sistem perparitan, landskap dan juga pagar yang perlu disiapkan dahulu sebelum proses pemindahan dijalankan.

“Malah kita juga ada menerima rungutan daripada penduduk yang menyatakan jarak antara kubur terlalu dekat iaitu 0.3 meter.

“Oleh itu kita akan membawa cadangan kepada pihak Upen bagi menangguhkan kerja-kerja pemindahan sementara waktu.

“Ia bagi memberi laluan agar perkara yang berkaitan dapat diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemindahan kubur dijalankan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis amanat mufti Johor sempena projek penyediaan tapak dan kerja pengalihan tanah perkuburan Islam untuk projek Rapid di Balairaya Kampung Teluk Empang, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Tahrir menegaskan pemindahan kubur penduduk itu adalah diharuskan bagi memberi laluan kepada pembangunan selain bertujuan untuk memuliakan kubur.

“Seperti contoh sekitar 1980-an kerja kerja pemindahan kubur sudah dilakukan bagi memberi laluan projek pembinaan Lebuhraya Utara Selatan.

“Kita hendak memuliakan kubur dan menjaganya sebab itu ia perlu dipindahkan ke tempat yang lebih mulia agar tidak mahu perkara yang tidak baik berlaku ke atas kubur semasa projek dijalankan,” katanya lagi.

JDTns- sinar

Terminal bas, teksi Benut 'nazak'

 




PONTIAN -Bagaikan hidup segan mati tak mahu.Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap Terminal Bas dan Teksi di Jalan Jaafar, Benut di sini, yang seolah-olah kurang berfungsi berbanding terminal seumpamanya di kawasan lain.Malah, usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) menaik taraf terminal berkenaan kira-kira empat tahun lalu ternyata langsung tidak memberi sebarang kesan sebaliknya keadaan menjadi semakin buruk.

Seorang penduduk tempatan, Khamis Bachik, 52, berkata, terminal itu diberi nafas baharu menjadi dua tingkat dengan harapan dapat membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka di kawasan berkenaan.

JDTns- utusan

Lampu limpah lepasi standard FAM

Januari 2013Suhairi (kanan) bersama petugas stadium memeriksa Lampu limpah lepasi standard FAM pencahayaan lampu limpah Stadium Larkin.LAMPU limpah di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunus, Larkin berada di tahap terbaik apabila berjaya mencatatkan bacaan pencahayaan melebihi 1,110 lux.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Suhairi Hashim berkata, lampu limpah di stadium Larkin kini berjaya melepasi standard ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai tahap kecerahan walaupun sebelum ini stadium itu tidak tersenarai dalam empat stadium yang boleh bermain pada waktu malam.“Kita ukur kecerahan cahaya lampu menggunakan alat digital light meter dan hasilnya amat baik kerana dapat bacaan melebihi 1,110 dalam bacaan tersebut.“Walaupun pegawai FAM akan datang 5 Januari ini untuk meneliti keadaan lampu limpah di sini, tetapi ujian dijalankan malam tadi (kelmarin) amat berkesan dan stadium ini sesuai bermain pada waktu malam," katanya.Suhairi berkata, sejumlah RM5.6 juta diperuntukkan untuk baiki empat tiang dan lampu-lampu stadium berkenaan.

Sementara itu katanya, kerja membaik pulih tempat duduk utama berjalan lancar dan sebanyak 2,944 tempat duduk baru disediakan berbanding 2,200 sebelum ini.Menurutnya pihak stadium juga telah menyediakan ruang solat di bahagian tempat duduk belakang bagi menampung jumlah penonton yang semakin ramai serta membaiki tandas-tandas yang sedia ada bagi keselesaan orang ramai.Suhairi berkata, menjelang perlawanan pertama Liga Super di Stadium Larkin, semua penyokong dijangka dapat duduk dengan selesa serta memberi sokongan padu kepada pasukan Harimau Selatan iaitu Johor Darul Takzim dan Johor.

JDTns

Selasa, 1 Januari 2013

Mersing : Mayat mangsa lemas ditemui

Mayat mangsa lemas ditemui
Jamaliah (dua, kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menunggu mayat anaknya tiba.
 


Mayat mangsa lemas ditemui
Ibu Muhamad Azhari sebak dan cuba ditenangkan.



MERSING – Mayat dua remaja yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Air Papan, di sini, Ahad lalu ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat, semalam.
     
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Mohd Alias Hussin berkata, pasukan penyelamat menemui mayat mangsa pertama, Muhamad Azhari Suranto, 17, kira-kira jam 12.40 petang di Pantai Teluk Buih, di sini, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, mayat Mohamad Hafis Jamuladin, 17, pula ditemui pasukan Gerak Khas pada jam 4.15 petang di kawasan berdekatan tempat kejadian.

“Mayat Azhari ditemui di celah batu Pantai Teluk Buih dan mengalami kecederaan di kepala. Dia ditemui pasukan bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya semalam.

90 anggota cari mangsa

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid berkata, pihaknya menambah 20 lagi anggota penyelamat bagi misi mencari mangsa berbanding 70 orang, kelmarin.

“Kami telah menambah anggota bagi misi mencari mangsa lemas dan satu bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada hari ini (semalam).

“Operasi ini bermula sejak laporan diterima dan dilakukan secara berterusan, anggota juga telah membuat rondaan sepanjang 18 batu nautika antara Pantai Penyabong hingga Pantai Teluk Iskandar,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari itu melibatkan Pasukan Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerak Khas.

“Selain pencarian di laut, usaha juga digiatkan di persisiran pantai dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Beritahu hendak pergi jauh

Ibu kepada Mohamad Hafis, Jamaliah Mohd Idris, 52 berkata, selepas pulang dari kerja pada 23 Disember lalu, anaknya itu ada memberitahunya hendak pergi jauh bagi mengikuti rombongan kompang.

Katanya, dia menegur tindakan Hafis supaya tidak bercakap bukan-bukan kerana lokasi rombongan yang ingin ditujui adalah jauh dari Batu Pahat.

“Saya tidak terkejut dengan tindakannya baring di pangkuan saya kerana dia adalah seorang anak yang manja, tetapi apabila dia mengatakan mahu pergi jauh, saya terdiam dan menegurnya.

“Kehilangannya sangat dirasai kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Jamaliah berkata, dia menemui anaknya buat kali terakhir pada jam 2.00 pagi sebelum Muhamad Hafis bertolak ke Pantai Air Papan.

“Dia salam, peluk dan cium pipi saya sebelum keluar rumah pada pagi tersebut. Kenangan tersebut tidak akan saya lupakan,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhamad Azhari, Suranto Fandi, 45, berkata, dia menerima berita kehilangan anaknya, melalui panggilan telefon daripada anak saudara yang turut serta dalam rombongan berkenaan.

“Perasaan tidak sedap hati ketika ingin melepaskan anak saya pergi rupanya petanda yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Ikut arahan, elak tragedi berulang

Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Mohd Nasir Abd Salam menasihatkan orang ramai yang datang melancong ke daerah ini supaya mengikut arahan dikeluarkan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Tanda amaran bendera merah telah diletakkan di pantai Mersing dan orang ramai tidak dibenarkan turun mandi ke laut kerana bahaya.

“Malah bacaan ombak juga telah meningkat antara 3 hingga 3.5 meter dan kelajuan angin pula adalah 40km/j dilaporkan,” katanya.

Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing, di sini, untuk dibedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua remaja dari rombongan Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Air Papan.

JDTns - Sinar
# sentiasa patuhi amaran untuk mengelakan tragedi.

2013: Insentif, dasar dan peristiwa penting

 
TAHUN 2012 telah melabuhkan tirainya semalam. Pelbagai perubahan telah dilakukan oleh kerajaan dan juga pembangkang. Berikut pelaksanaan beberapa dasar, program dan peristiwa penting yang akan berlaku tahun ini.

* Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berlangsung sebelum akhir Jun. Antara pembaharuan yang akan dilaksanakan ketika PRU13 ialah dakwat kekal. Penggunaan dakwat kekal telah diwartakan pada 13 Februari lalu. Ia sebahagian daripada 22 perkara dikemukakan oleh PSC

* Ekoran pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pelajar pusat pengajian tinggi boleh bertanding dalam PRU13

* Pelan Pembangunan Pendidikian Malaysia akan dikuatkuasakan. Ia akan dibawa kepada Kabinet bulan ini

* Akta Kebankrapan 1967 mungkin dipinda ekoran permintaan Pemuda Umno pada perhimpunan tahunan akhir November lalu

* Pembayaraan BR1M 2.0 mulai bulan depan

* Rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G mulai hari ini

* Pelaksanaan gaji minimum di seluruh negara RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan

* Had usia persaraan sektor swasta iaitu 60 tahun, dinaikkan dari 55 tahun dikuatkuasakan mulai 1 Julai

* Insurans bas sekolah untuk 1.5 juta pelajar sekolah

* Diskaun bayaran pemprosesan pasport untuk kanak-kanak dan warga tua

* Kerajaan sedia RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, bagi persiapan program Road to Rio - Sukan Olimpik Brazil pada 2016

* Rebat tunai RM10,000 dan subsidi dua peratus kepada pengusaha bas sekolah untuk pinjaman penuh menggantikan bas sekolah lama berusia lebih 25 tahun

* Pengagihan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100

* Pembinaan 20,000 unit rumah generasi baru Felda

* Pencarum KWSP dibenar keluar RM3,000 untuk tunai haji

* Bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 25,708 pegawai dan anggota tentera

*  Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara dijangka membentangkan laporan tahun ini

* Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, yang ditubuhkan pada 1 Jun lalu, juga akan mengemukakan laporan

* Jawatankuasa Khas yang membuat kajian berhubung langkah mengenal pasti negeri-negeri layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung juga dijangka bentang laporan

* Lebih 90,000 pelajar asing di institusi pengajian tinggi diwajibkan sekurang-kurangnya menguasai bahasa Melayu untuk berkomunikasi mulai tahun depan.

JDTns- Sinar

Skim gaji minimum bermula hari ini.

Kuala Lumpur: Kira-kira tiga juta tenaga kerja swasta termasuk pekerja asing dalam pelbagai sektor akan menerima gaji minimum mula hari ini apabila lebih 500,000 majikan di negara ini melaksanakannya.

Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), T Shanmugam memberitahu BH, sebelum ini 4,200 daripada 800,000 syarikat memohon penangguhan sementara bagi melaksanakan skim itu, bagaimanapun hanya 632 majikan diberi kelulusan. Permohonan diteliti.

“Semua permohonan mereka diteliti secara terperinci oleh MPGN, akhirnya hanya 632 syarikat diberi penangguhan sementara iaitu sehingga April ini disebabkan faktor kewangan.

“Majikan yang menggaji lima pekerja atau kurang pula diberi penangguhan hingga 1 Julai ini kerana mereka memerlukan sedikit masa khususnya daripada segi perancangan kewangan dan operasi perniagaan sebelum melaksanakannya,” katanya, semalam.

*RM900 sebulan*

Kadar gaji minimum yang ditetapkan ialah RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung Malaysia, manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengumuman gaji minimum itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lalu, manakala kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.

Mengikut Akta Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap pekerja bagi kesalahan pertama, jika terus ingkar, denda RM1,000 setiap pekerja sehari, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

JDTns Sumber: Berita Harian

Isnin, 31 Disember 2012

Tunku Ismail yakin kemampuan Johor D.T


Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalam dengan pemain pada majlis memperkenalkan skuad Johor Darul Takzim dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bimbang dengan kekalahan pasukan bintang Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota kelmarin.

Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada skuad adik, Johor.

Tunku Ismail berkata, ini kerana menang atau kalah merupakan adat pertandingan, namun apa yang lebih penting baginya adalah kedua-dua pasukan di bawah PBNJ menunjukkan komitmen, semangat juang dan disiplin yang tinggi.

“Kita tidak boleh menjangkakan untuk menang 6-0 pada setiap perlawanan. Perlawanan itu hanyalah aksi pemanas badan dan melihat keberkesanan strategi yang dibuat. Saya masih percaya kita mempunyai peluang meraih kejayaan.

“Bagaimanapun saya gembira dengan perkembangan Johor, syabas dan ia jelas kita mempunyai dua pasukan yang mantap," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, adalah tidak adil untuk menghakimi aksi pasukan bintang Johor Darul Takzim selepas satu perlawanan yang lebih kepada sesi pemanas badan, satu kekalahan bukan bermakna ia adalah penamat bagi segala-galanya.

Sementara itu, beliau turut melahirkan keyakinan pasukan Johor Darul Takzim dapat beraksi pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos sebaik saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan bermula.
Ia berikutan jaminan yang diberikan Tunku Ismail bahawa pihaknya sedang berusaha untuk memasang dan menaik taraf lampu limpah di stadium berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Insya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya yakin perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu malam," katanya ketika diminta mengulas berhubung isu lampu limpah yang tidak mengikut spesifikasi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hanya tujuh stadium yang menjadi lokasi tuan rumah aksi Liga M menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.

Stadium Tan Sri Hassan Yunos merupakan salah satu stadium yang tidak menepati piawaian ditetapkan FAM sekali gus menyebabkan perlawanan di lokasi tersebut perlu dijalankan pada waktu siang iaitu pukul 4.45 petang.

JDTns- utusan sukan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com