IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Rabu, 19 Disember 2012

Jeti rosakTujuh jeti rosak akan dibaiki

Tarikh: December 19, 2012

MUAR – Kerajaan memperuntukkan RM1 juta untuk membina dan menaik taraf tujuh jeti yang rosak di sekitar Parlimen Muar.
Jumlah itu sekaligus memberi kelegaan dan kegembiraan kepada 1,000 nelayan yang ada di Parlimen berkenaan.

Antara jeti yang sudah melalui proses naik taraf adalah Parit Jawa, Sarang Buaya, Sungai Balan dan Parit Amal, manakala jeti di Seri Menanti kini dalam proses memberikan tender dan jika tiada halangan bakal disiapkan pada tahun depan.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, setiap jeti berkenaan menerima peruntukan antara RM100,000 hingga RM200,000 dan kerja pembinaan serta baik pulih itu bergantung kepada tahap keperluan dan jumlah nelayan yang menggunakan kemudahan.

“Jeti Seri Menanti bernilai RM200,000 ini masih dalam proses mengeluarkan tender. Apabila ia disiapkan kelak, ia mampu menampung keperluan lebih 100 nelayan di kawasan ini.

“Peruntukan diterima ini bagi menggantikan jeti kayu lama kepada konkrit kerana ia lebih tahan dan kukuh,” katanya ketika membuat lawatan di Jeti Seri Menanti selepas Program Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Parlimen Muar di Pantai Kampung Sri Menanti, dekat sini, kelmarin.

Razali berkata, dengan adanya jeti baru itu, ia akan memudahkan nelayan mendaratkan ikan di pangkalan sedia ada seterusnya berupaya meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
Sambil mengambil contoh jeti Seri Menanti yang sudah digunakan sejak 40 tahun lalu, beliau berkata, kemudahan sedia ada dibina menggunakan kayu dan kini mengalami kerosakan disebabkan faktor cuaca sehingga mengakibatkan nelayan sukar mendaratkan hasil tangkapan masing-masing.

“Menerusi peruntukan RM200,000 ini, separuh daripada jeti itu yang diperbuat daripada kayu akan digantikan dengan konkrit,” katanya.

Selain itu, katanya, kerja-kerja menambak dan membina benteng sejauh dua kilometer bermula dari Pantai Seri Menanti sehingga Sungai Pulai akan dilakukan menggunakan peruntukan berjumlah RM3 juta yang diterima.

“Pembinaan benteng ini penting kerana kawasan ini mengalami hakisan pantai dan boleh menjejaskan pendapatan nelayan yang sukar untuk ke laut,” katanya.

Beliau berkata, apabila semua projek membina dan membaik pulih jeti serta menambak benteng itu disiapkan kelak, kemudahan baru itu akan dapat memberikan kemudahan kepada berpuluh bot serta lebih 900 nelayan di kawasan berkenaan untuk menambah pendapatan.

JDTns

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com