IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Selasa, 27 Ogos 2013

10 penduduk bersyukur terima rumah baharu sempena KMJ 2013

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertanyakan sesuatu kepada Mohamed Johar Mohamed Jaafar selepas menerima kunci rumah baharu ketika Kembara Mahkota Johor singgah di Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang, semalam. 
 


KLUANG 26 Ogos - Penantian seorang warga emas untuk mendiami rumah baharu selepas kediaman asalnya di Simpang Renggam di sini, terbakar sejak tiga tahun lalu berakhir selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan kunci rumah kepadanya di Kampung Sri Lukut, di sini hari ini.

Majlis penyampaian kunci tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Sultan Ibrahim ketika singgah di lokasi ketiga dan terakhir di daerah ini dalam sesi Kembara Mahkota Johor (KMJ) tahun ini.
Ahmad Hussin, 65, berkata, berikutan tragedi itu, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah sementara.

"Saya bersyukur kerana walaupun nasib tidak menyebelahi saya untuk membina semula rumah itu, namun Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membantu menyiapkan sebuah rumah bagi menggantikan dengan yang lama.

"Lebih manis bagi kami sekeluarga, kunci rumah baharu ini disampaikan Sultan Ibrahim sendiri yang turut disaksikan oleh ahli keluarga baginda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad merupakan salah seorang daripada 10 penduduk yang menerima kunci rumah daripada Sultan Ibrahim dalam majlis tersebut.

Seorang wakil penerima, Tumirah Samon, 70, pula bersyukur kerana anaknya yang merupakan ibu tunggal kepada sembilan anak akhirnya menerima rumah baharu yang dibina di Kampung Sri Lukut.
Katanya, walaupun anaknya itu berada di Johor Bahru untuk menyelesaikan urusan penting tetapi mereka sekeluarga menghargai sumbangan Sultan Ibrahim dan Kejora.

Sementara itu, warga emas, Mohamed Johar Mohamed Jaafar, 85, pula kini boleh meninggalkan rumah lama yang usang dan mendiami kediaman yang lebih selesa.

"Walaupun saya, isteri dan dua anak yang berusia 22 dan 15 tahun sahaja yang menghuni rumah itu, namun ada kalanya timbul rasa tidak selesa kerana rumah tersebut telah usang dan perlu dibaiki.

"Oleh kerana telah mendapat rumah baharu di Sri Lalang, kami berterima kasih kepada kesemua pihak yang menyiapkan rumah itu terutama Sultan Ibrahim yang menyerahkan kunci hari ini," katanya.

Dalam majlis sama, Sultan Ibrahim turut menyampaikan 50 basikal kepada murid Sekolah Agama Kampung Contoh, Sekolah Agama Kahang Batu 28 dan Sekolah Agama Ladang Mutiara Kahang.

© Utusan Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com