IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Selasa, 27 Ogos 2013

RM1.8j biayai 400 bakal haji Johor

Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Perjumpaan Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, semalam. 
 


JOHOR BAHRU 26 Ogos - Johor memperuntukkan RM1.8 juta untuk membiayai 400 bakal haji rombongan kerajaan negeri yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua bakal jemaah yang menjadi tetamu Allah itu terdiri 230 jemaah lelaki dan 170 wanita dan merupakan petugas serta pesara kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan kuota haji seramai 400 orang walaupun jumlah kuota yang diperuntukkan kepada negara telah diperkecilkan sebanyak 20 peratus.

"Pelaksanaan ibadah haji bukan sahaja memerlukan kekuatan jasmani atau fizikal yang baik, malah kekuatan rohani perlu diperkuatkan dengan ilmu dan amal sebagai usaha untuk melahirkan insan yang cemerlang di Tanah Suci itu nanti.

"Untuk itu, persediaan rohani dan jasmani perlulah seiring agar segala ibadah seperti tawaf, saie, wukuf di Arafah dan melontar Jamrah dapat dilaksanakan dengan baik serta penuh penghayatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1434H/2013M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Kesemua bakal haji rombongan kerajaan negeri itu merupakan antara 2,700 orang yang berpeluang mengerjakan Rukun Islam kelima berkenaan tahun ini dan akan berlepas dengan tujuh penerbangan mulai 9 September sehingga 5 Oktober ini.

Mohamed Khaled turut menyeru semua jemaah supaya menitikberatkan aspek kesihatan ketika mengerjakan ibadah haji ekoran ketika ini Asia Barat secara amnya dan di negara Arab Saudi khususnya terdapat beberapa kes coronavirus iaitu sejenis penyakit selesema.

"Kes itu bukan ditahap yang berbahaya tetapi adalah dinasihatkan dalam suasana orang yang berjuta-juta tertumpu pada satu tempat, kita perlu menjaga diri supaya tidak mudah dijangkiti penyakit yang akan mengganggu ibadah itu nanti," katanya.

© Utusan Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DITAJA OLEH

IKLAN BERBAYAR

Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
johordarultakzimjdt@gmail.com