IKLAN

JOM SERTAI KOMUNITI KITA JDT

Jumaat, 31 Januari 2014

100 Kenderaan Hangus Di Muar

Muar: Kira-kira 100 kenderaan musnah terbakar membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta dalam kejadian di sebuah bengkel simpanan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Parit Bakar berhampiran Taman Desa Murni di sini, semalam.

Kejadian jam 9.30 pagi itu disedari pekerja bengkel berkenaan selepas melihat api membakar bahagian belakang premis berkenaan. Pekerja bengkel itu, Mohd Munir Sain, 20-an, berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum mendapati api marak di belakang bengkel lalu segera mengejutkan lapan rakan setugas sebelum berusaha memadamkan api. “Bagaimanapun, kami terpaksa menyelamatkan diri apabila berlaku letupan membabitkan beberapa kenderaan yang dijilat api,” katanya.

Foto ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran membabitkan 100 kenderaan. Menurutnya, antara kenderaan yang musnah termasuk lori, treler, kereta serta kenderaan pelbagai guna (MPV).

Khamis, 30 Januari 2014

Chef Wan luahkan rasa kesal nasi lemak MAS

Chef-Wan

SIAPA yang tak kenal chef selebriti terkemuka Malaysia, Chef Wan?
Bukan sahaja ‘otai’ dalam bidang masakan, malah namanya sudah berdiri setanding dengan chef-chef terkemuka antarabangsa.

Baru-baru ini, Chef Wan yang menaiki penerbangan kelas ekonomi ke Bangkok, Thailand meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap nasi lemak yang dihidangkan dalam pesawat milik Malaysia Airlines (MAS).
Menggelarnya sebagai ‘telanjang’, dia kesal kerana menu tersebut kelihatan tidak sempurna tanpa timun, kacang dan ikan bilis.

Menerusi gambar yang dimuatnaik di akaun Instagramnya, nasi lemak tersebut hanya dihidangkan bersama sambal dan telur rebus sahaja.

Baginya, ia secara tidak langsung memberi gambaran negatif pada orang luar yang tidak pernah melihat nasi lemak yang sebenar sebelum ini.

Berikut merupakan ‘caption’ penuh yang ditulisnya:

“I flew on economy to Bangkok thinking its such a short trip and so early pulak tu pasti i will close my eye and have a short nap tak payah lah membazir duit naik business class. This Sad looking Nasi Lemak from Mas for sarapan sungguh memeranjat kan..The fact that its our national career and we dont take pride in providing our so call most famous Malaysian breakfast that kita Agong2 kan bangga serata dunia and to show case this on international flight without the proper timun and kacang serta ikan bilis nampak macam miskin sangat sarapan Malaysia ini. Kita orang Malaysia sudah pasti la tahu akan quality Nasi lemak serta pilihan lauk2 that goes along with it but hey….what about all that international travellers.

Seriously i feel sad that our Msian Breakfast can suffer its own image so misleading to the point where i felt the need for them to realised how serious this can be. Why la so much in consistency when it come to serving This dish at various destinations? Why my flight ticket cost me rm850 tu maka its not business class enough ke that i am serve Nasi and Sambal with telor that make my breakfast so mcm ” Telanjang la” Come on la Mas tak kan kita nak selalu membebel pasal simple basic thing of serving the country national heritage food and dah macam pahat serta pemukul? Why sent letters to act on my complain and appology and then repeat back the same mistake? Hello am i being to difficult here or being sensible to request for a normal Nasi Lemak?”

Nasi lemakk

Sejujurnya, penulis bersetuju dengan kata-kata Chef Wan itu. Setakat timun dan ikan bilis, berapa sangatlah jika dibandingkan dengan harga tiket yang sudah dibayar?

Lebih penting lagi, nasi lemak ni dah umpama makanan rasmi kita … janganlah hidang dalam keadaan yang menghilangkan seri dan imej masakan itu.

Sebelum ini, Chef Wan pernah menegur sebuah restoran di hotel lima bintang kerana menggunakan resepi yang kurang tepat untuk Laksa Nyonya.

Dia yang juga Duta Pelancongan Makanan Malaysia berkata, kesilapan resepi akan memberi imej buruk pada industri pelancongan di negara ini.

Ada baiknya pihak-pihak tersebut mengambil positif teguran Chef Wan itu. Tambah-tambah pula, tahun 2014 ialah Tahun Melawat Malaysia, menurut sumber Mynewshub.

Kanak-kanak dirogol, liwat

LOKASI seorang murid berusia 10 tahun dalam perjalanan ke sekolah yang diculik sebelum dirogol serta dicederakan di Bukit Batu dekat Bakri, Muar, Johor, semalam.

MUAR 29 Jan. - Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.

Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.

Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.

Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.

"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.

Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.

Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat.

`Kami cuma tidak bernasib baik'

JOHOR BAHRU - Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menentang Lions XII dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin disifatkan pemain sebagai tiada nasib.

Pemain pertahanan JDT, Baihakki Khaizan berkata, skuad Harimau Selatan tidak bernasib baik dalam beberapa situasi dan ditambah pula semangat juang pasukan pelawat yang cukup tinggi.

"Kami sudah memperoleh dua gol, namun apa yang berlaku itu adalah bola sepak. Saya kenal pasukan (Lions XII) dan mereka bukan mudah untuk menyerah kalah, itulah sikap mereka.

"Saya harap kami dapat bangkit bagi mengharungi perlawanan akan datang," katanya.

Pada masa sama, bekas pemain Lions XII itu berharap pasukan JDT akan mempamer aksi terbaik ketika bertemu T-Team pada pusingan kedua Piala FA di sini Sabtu ini, sekali gus mencatatkan kemenangan.

"Keputusan seri itu diharap tidak melemahkan semangat pasukan kerana kami sudah memberi yang terbaik.

"Kami masih banyak perlawanan yang perlu ditempuhi, terus berfikiran positif, tidak perlu tunjuk siapa betul dan siapa salah kerana kita semua sudah cukup matang untuk terima segala keputusan," katanya.

Sementara itu, Amri Yahyah turut menyifatkan pasukannya tiada nasib dalam perlawanan kelmarin.

Bekas pemain Selangor itu berharap pasukannya melupakan kekecewaan itu untuk memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

"Semua pemain sudah memberikan yang terbaik, bukan hanya dalam perlawanan menentang Lions XII, tetapi dalam setiap perlawanan yang ditempuhi. Kini tumpuan perlu diberi kepada Piala FA kerana kami mahu melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Jurulatih LionsXII, Fandi Ahmad pula begitu berpuas hati dengan tahap disiplin ditunjukkan anak-anak buahnya ketika menentang JDT yang pernah dibimbing legenda bola sepak Singapura itu.

Katanya, sukar apabila berdepan dengan sebuah pasukan seperti JDT selain bermain di hadapan puluhan ribu peminat yang memenuhi stadium.

"Kami terkejut apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, namun saya gembira mereka mampu bangkit dengan setiap orang memberikan yang terbaik, ini bukan mudah.

"Saya perlu mengakui memang sukar, namun pujian perlu diberikan kepada pemain kerana bermain bersungguh-sungguh dengan penuh semangat untuk meraih mata," katanya.

Atasi segera masalah banjir

ISMAIL Mohamed (tengah) bersama para penerima bantuan pada Program Pengagihan Wang Ihsan bagi Mangsa Banjir Negeri Johor Peringkat Daerah Muar Tahun 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil, Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 29 Jan. - Sistem perparitan yang bermasalah di kawasan Bukit Serampang sehingga mengakibatkan banjir terutama di Felda Moakil dekat sini Disember lalu akan diperbaiki. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kerja menaik taraf tersebut akan dilakukan secepat mungkin menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan Felda.

"Kita mahu pastikan parit dan saluran air dari daerah ini yang masuk ke Sungai Muar mengalir lancar dan tidak tersekat atau disebabkan salurannya kecil serta cetek.

"Antara tindakan segera akan diambil adalah membersihkan laluan air daripada sampah-sarap serta tumbuhan yang menghalang aliran air hingga mengakibatkannya tersumbat dan melimpah," katanya selepas program Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Peringkat Daerah Muar 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil semalam.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi bantuan sebanyak RM28,000 kepada 56 keluarga yang menjadi mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM500. Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan termasuk peralatan elektrik dan perabot yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Ibrahim, 57, berkata, banjir yang berlaku itu mengakibatkan banyak binatang ternakannya mati selain sebahagian perabot rumahnya rosak. "Kedudukan rumah saya rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air. Namun, Alhamdulillah bantuan yang diterima ini sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga saya untuk membeli barang keperluan harian," katanya.

Mohd. Azman Manap, 29, yang merupakan generasi kedua di Felda pula berkata, masalah banjir di kawasan itu perlu diatasi segera. Menurut bapa kepada seorang anak ini, banjir setinggi paras lutut mengakibatkan tikar getah, perabot serta perkakas rumahnya rosak.

27 murid dari dua sekolah rendah keracunan makanan

KOTA TINGGI 29 Jan. - Seramai 27 murid sebuah sekolah rendah di bandar ini mengalami simptom keracunan makanan setelah memakan makanan yang dihidangkan sempena Majlis Maulidur Rasul di sebuah sekolah agama berhampiran petang semalam.

Pengerusi Hospital Kota Tinggi (HKT), Dr. Maslina Yusof yang dihubungi mengesahkan mangsa terdiri daripada 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, manakala dua lagi dari SK Datuk Usman Awang. Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang.

Kesemua mangsa dihantar menaiki kenderaan guru dan sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan di HKT. Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa, Siti Salimah Jumal, 32, memberitahu dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya daripada jirannya yang turut mempunyai anak bersekolah di kelas yang sama.

Katanya, pagi tadi sebelum ke sekolah anak ada beritahu mengalami sakit perut namun beliau hanya menganggap sakit biasa kerana setiap pagi memang anaknya selalu membuang air besar sebelum ke sekolah.

"Bagaimanapun, saya amat terkejut apabila jiran menghubungi memberitahu bahawa anaknya dan anak saya berada di hospital kerana keracunan makanan. "Saya juga merasa pelik kerana petang semalam kami tidak ada keluar makan di mana-mana namun anak memberitahu petang semalam dia ada makan makanan yang dibekalkan pihak sekolah sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya yang di temui di HKT di sini.

Sahabuddin Ngarip, 45, berkata, beliau telah dihubungi oleh pihak sekolah kira-kira pukul 10 pagi menyuruhnya mengambil anaknya yang berada di HKT. Beliau yang risau tentang keselamatan anaknya terus bergegas ke hospital untuk menjemput mangsa.

Rabu, 29 Januari 2014

Air mata si penyamun

Segamat: Seorang lelaki berusia 45 tahun yang mencuri barangan logam milik sebuah syarikat telekomunikasi menangis di pekarangan Mahkamah Seksyen, di sini, semalam kerana bimbang perbuatannya diketahui isterinya.

Difahamkan, suspek juga menangis kerana tidak tahu apa alasan yang perlu diberi kepada isterinya yang berusia 40-an memandangkan dia akan bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membantu siasatan kes terbabit.

Suspek ditemui di pekarangan mahkamah berkenaan sementara menunggu perintah tahanan reman terhadapnya serta seorang rakan jenayahnya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek ditahan bersama seorang rakannya berusia 32 tahun berhampiran menara pencawang milik sebuah syarikat telekomunikasi di sekitar FELDA Kemelah di sini, oleh juruteknik syarikat itu pada jam 11 malam kelmarin.

Foto ANGGOTA polis menunjukkan barang yang dirampas daripada kedua-dua suspek. “Juruteknik berkenaan mahu menyiapkan tugasannya dan pergi ke lokasi berkenaan sebelum nampak dua lelaki membawa beg berhampiran menara pencawang terbabit.

MRQ 76 tingkat pengeluaran beras wangi

KERJA menuai padi MRQ 76 yang kali pertama dihasilkan di Kampung Kesang Tasek dekat Kesang, Ledang, Johor.

LEDANG 28 Jan. - Daerah ini menjadi perintis memperkenalkan penggunaan benih padi baharu MRQ 76 di 1,531 hektar sawah di negeri ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan terhadap beras wangi berkualiti tinggi.

Jenis tersebut yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjadikan kawasan kira-kira 2.4 hektar di Kesang Tasek, dekat sini sebagai projek perintis untuk melihat kesesuaian dan hasilnya.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, mengikut perancangan apabila jenis MRQ 76 berjaya ditanam dan mengeluarkan produktiviti tinggi di Kesang Tasek, benih baharu itu turut akan ditanam di daerah lain.

"Kesang Tasek menjadi model untuk seluruh negeri ini. Selepas ini kita akan gunakan varieti ini di semua kawasan sawah di Ledang iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 76 hektar, Kesang Gate (32.4), Pulau Penarek (50.7), Telok Rimba (151.52) dan Sawah Ring (270).

"Ledang menyumbang kira-kira 70 peratus hasil beras untuk negeri ini dan kita percaya selepas ini Mersing yang merupakan kawasan sawah padi kedua terbesar akan menggunakan benih baharu ini diikuti daerah lain," katanya ketika ditemui selepas majlis menuai padi baharu MRQ 76 di Kampung Kesang Tasek, hari ini.

Beliau berkata, varieti baharu itu mempunyai banyak keistimewaan, antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditabur benihnya, selain tahan penyakit karah atau serangan kulat yang merosakkan tangkai dan daun serta tahan serangan bena perang iaitu serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.

MRQ 76 turut menghasilkan beras seroi atau peroi yang lembut, melekit dan sedikit berketul serta mampu mencecah lima hingga enam tan metrik bagi satu hektar sawah dan boleh dijual RM1.60 sekilogram (kg) berbanding beras jenis lain seperti MR220CL1 dan MR220CL2 iaitu RM1.15 bagi satu kilogram.

"Benih jenis ini sesuai ditanam di kawasan yang bukan jelapang padi. Johor menjadi negeri keempat menggunakan benih ini selepas Terengganu, Kedah, Perak dan Melaka," katanya sambil memberitahu benih tersebut mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman atau penyelenggaraan kerana tidak perlu menggunakan racun atau baja kimia bagi mengawal serangga atau penyakit.

Abdullah berkata, MRQ 76 hanya menggunakan baja organik dihasilkan daripada najis ayam atau lembu dan kaedah tersebut mesra alam serta lebih selamat.

"Penggunaan varieti baharu ini juga disasar bagi mengurangkan 30 peratus atau kira-kira RM500 juta yang dibelanjakan untuk import beras wangi dari Vietnam, Thailand dan Kemboja bagi menampung keperluan dalam negara," katanya.

Ahad, 26 Januari 2014

ANAK KERBAU KEPALA 2 - KOTA TINGGI

KOTA TINGGI 25 Jan. - Pekerja Ladang Alaf dekat sini gempar dengan kelahiran seekor anak kerbau balau merah yang berkepala dua semalam.

Pengurus ladang tersebut, Fauzahar Sail, 40, ini merupakan kali pertama dia melihat kejadian aneh seperti itu apabila ibu kerbau melahirkan seekor anak berkepala dua.

"Barangkali ini salah satu keberkatan dan kebesaran ditunjukkan Allah SWT di ladang ini, maklumlah pada masa ini ramai orang datang membeli dan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing sempena sambutan Maulidur Rasul.

"Bagaimanapun saya terkilan tidak dapat perlihatkan kepada orang ramai kerana anak kerbau itu tidak dapat diselamatkan semasa dilahirkan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Pembantunya, Mohd. Rafiq Kadir, 27, percaya anak kerbau itu telah mati sebelum dilahirkan berikutan air ketuban telah kering.

Dia bersama enam rakan sekerja cuba membantu ibu kerbau itu dari pukul 10.30 pagi Khamis lalu, namun sehingga petang mereka gagal mengeluarkan anak kerbau berkenaan.

"Kami kemudian mengambil keputusan menyuntik ibu kerbau dengan sejenis cecair perangsang agar dapat melahirkan anaknya secara semula jadi.

"Dalam pukul 10 pagi tadi (semalam) bila saya tinjau ibu kerbau itu berjaya melahirkan anaknya, tetapi terkejut mendapati anak kerbau itu mempunyai dua kepala dan sudah tidak bernyawa," katanya.

"Sudah tiga tahun saya bekerja di sini, tetapi baru kali ini menyaksikan peristiwa aneh seperti ini," katanya.

https://www.facebook.com/johordarultazimharimauselatan

BAHASA JOHOR ( Rujukan hampir Lengkap)

Kalau orang tak tahu, ramai orang anggap bahasa orang Johor ini sama saja. Contohnya masa saya belajar kat luar Johor dulu, orang tak tahu saya orang mana selagi dia tak tanya saya. Sedangkan dia boleh tahu orang Kedah, Kelantan atau Terengganu tanpa bertanya pada orang tu.Ada juga loghat daerah yang lebih halus lagi seperti dari daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Sg Rengit, Kuala Sedeli yang mempunyai loghatnya tersendiri. Sampai sekarang, bahasa ni masih digunakan.

Air Tawo – Air Tawar
Bak - bawa
Bandor – Bandar
Belajor – belajar
Besor – Besar
Betok - Ikan puyu
Bobos - bocor
Buboh - letak
Cador – cadar
Calor – calar
Cenonet - kecik

Engko – Engkau
Esbok – Peti Sejuk
Gambor – Gambar
Gebor – selimut
Getol - Sekel kepala
Grobok – Almari
Hangen – angin
Hantor – hantar

Jajan – Makanan Ringan
Jerang - masak air/nasi
Jerih - Semput
Jotos - sekel (Aku jotos kepala engko kang)
Kang - nanti
Kejor – Kejar
Kerek - Eksen
Kolah - tempat simpan air
Koknai - Main kejar kejar
Kokot - ambil sampai habis
korang - engkau orang
Kosi – kerusi

Lantak - hentam keromo
Lapor – Lapar
Laymo - Limau
Lawo – cantik
Leceh - lambat (Leceh betullah ko ni)
Longgo - Longgar
Mancah - Menebas
Muor – Muar

Ngeteh – Minum air di kedai
Nonong - tanpa memperdulikan apa-apa pun (Orang tu nonong ajer)
Pasor – pasar
Pasor Lambak – Pasar Malam
pestol – pistol
Peygang- pegang

Sarap - Sarapan
Nyonyot - Hisap
Nor - betul (panjang nor cerita ni)
Pakkal - Nasib baiklah
Segor – segar
Selipor – selipar
Semangka - tembikai
Sengabong - Sungai Abong
Sila panggung - Duduk rilek
Sogame – sekolah agama
Sokkabor – Surat Khabar

Tanak - Masak
Tampor – tampar
Terpeleot - terseliuh
Tikor – tikar
Tombot - pelupusan sampah
Tualo - tuala

Motosikal - Orang Muar tak panggil moto, dia panggil 'motosikal'.

Televisyen - Orang Muar tak panggil TV, tapi panggil 'televisyen'.

Copypaste#.

Rabu, 1 Januari 2014

Jelajah pertunjukan layang-layang lampu di seluruh Johor

SEGAMAT 31 Dis. - Jelajah pertunjukan layang-layang berlampu yang dimainkan pada waktu malam akan singgah di seluruh negeri bagi memperkenalkan permainan tersebut serta mempromosi Pesta Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Persatuan Pelayang Negeri Johor, A. Rahim Nin berkata, selain siri jelajah pertunjukan layang-layang berlampu, pelbagai aktiviti dirancang bagi mengisi kalendar tahun 2014 bertujuan memperkenalkan permainan layang-layang kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Sebagai pembuka tirai tahun 2014, kami akan mengadakan satu bengkel membuat layang-layang selama empat hari bermula 9 Januari ini yang terbuka kepada peminat permainan layang-layang di negeri ini di Pusat Latihan Dan Rekreasi Felcra Tebing Tinggi.

"Selain itu, saya sedang berusaha mendapatkan kerjasama dan bantuan daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjurkan aktiviti termasuk pertunjukan layang-layang berlampu," katanya semasa menyaksikan pertunjukan layang-layang berlampu yang julung kali diadakan di daerah Segamat di Dataran Segamat malam tadi.

Seramai 20 pelayang menerbangkan pelbagai bentuk layang-layang yang dihiasi lampu berwarna-warni menghiasi Dataran Segamat yang menarik perhatian kira-kira 500 pengunjung.

Persatuan Pelayang Negeri Johor yang ditubuhkan pada 1996 mempunyai seramai 500 ahli terdiri daripada pelbagai kaum dan 80 orang daripada jumlah tersebut bergiat aktif dengan menyertai pelbagai pertunjukan dan pertandingan di dalam dan luar negara.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, permainan layang-layang merupakan aktiviti sihat yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, kaum dan anggota masyarakat.

"Saya harap siri jelajah pertunjukan layang-layang berlampu ini bukan sahaja mampu menarik minat orang ramai terhadap permainan layang-layang, tetapi sebagai satu aktiviti yang dapat dijadikan kegiatan riadah bersama keluarga untuk hadir menyaksikan pertunjukan tersebut,"katanya.

Jumaat, 15 November 2013

JOHOR SIASAT PEMBOCOR MAKLUMAT RAHSIA.

Siasat pembocor dokumen rahsia

OLEH: NORSHIKIN MOHD SALLEH
Tarikh: November 15, 2013

JOHOR BAHRU – Penyebaran dokumen rahsia negeri Johor berhubung cadangan pelaksanaan cuti Jumaat dan Sabtu adalah kesalahan yang serius. Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang membocorkan dokumen rahsia kerajaan negeri yang kini menjadi ‘viral’ di laman sosial dan web (blog).

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat perkara ini... macam mana kertas majlis mesyuarat boleh dibocorkan sedangkan ia adalah rahsia rasmi. Siapa yang bocorkan? Ia tidak sepatutnya didedahkan.

“Saya difahamkan siasatan telah dimulakan dan sesiapa yang berkenaan akan dikenakan tindakan kerana ia sesuatu yang sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi. “Selama saya memegang jawatan ini, perkara pembocoran ini tidak pernah berlaku dan ia satu kesalahan yang serius,” katanya ketika ditemui di Istana Besar, di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai sebarang akaun di laman sosial sama ada Facebook, Twitter dan laman web. “Tuanku tidak mempunyai sebarang laman web atau Facebook mahupun Twitter. Bagi saya sesiapa boleh tiru dan menyamar,” katanya.

Ditanya mengenai kebenaran penukaran cuti berkenaan, Abdul Rahim mengakui tidak mengetahui langsung berhubung perkara itu. “Perkara ini di bawah kerajaan negeri, saya tidak tahu kerana mengikut aturannya, Sultan bertindak atas nasihat iaitu sama ada daripada menteri besar dan exco, Jumaah Majlis Diraja Johor dan Jumaah Pengampunan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berhubung pembocoran dokumen rahsia kerajaan negeri berkenaan.

“Kita telah menerima tiga laporan polis yang dibuat antaranya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil. Polis sedang menyiasat perkara ini  di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menegaskan sebarang keputusan pelaksanaan menukar cuti tertakluk kepada perkenan Sultan Johor.

Laman sesawang dan sosial kini dipenuhi status berkaitan penukaran hari cuti negeri Johor dari Sabtu-Ahad kepada Jumaat-Sabtu bagi negeri Johor mulai 2014. Bagaimanapun, gemar gembur cerita itu seakan -akan benar apabila dokumen rahsia kerajaan iaitu Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor bertarikh 9 Oktober 2013 yang ditandatangani jurutulis mesyuarat disebarkan.

JDT

Sabtu, 9 November 2013

Segamat : 12 mayat masih sempurna

 


SEGAMAT 8 Nov. - Penemuan 12 jenazah dalam keadaan sempurna biarpun telah dikebumikan dalam tempoh lapan hingga 12 tahun lalu mencetuskan kejutan dalam kerja pemindahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini yang dibuat bagi memberi laluan pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak.

Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan, 52, berkata, perkara tersebut disedari pekerja yang terlibat dalam usaha menggali dan memindahkan kira-kira 150 jenazah di tanah perkuburan tersebut sejak beberapa hari lalu.

"Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang dikeluarkan dengan keadaan kain kafan masih baik, cuma sedikit kotor dan lusuh. Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan kain kafan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk dikebumi di tanah perkuburan baharu di Kampung Alai.

"Jasad yang kain kafannya masih elok ini baru berusia di antara lapan hingga 12 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu. Jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari pertama dikebumikan dan hanya sedikit bahagian anggota badan yang terusik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jamaluddin yang berpengalaman 22 tahun dalam kerja tersebut berkata, dia juga pernah menemukan jasad yang langsung tidak terusik meskipun sudah 30 tahun dikebumikan dan penemuan dalam kerja pemindahan jenazah ke tanah perkuburan baharu ini perlu menjadi pengajaran sebagai bukti kekuasaan Allah.

Dia yang sebelum ini terlibat dengan kerja pemindahan tanah perkuburan di Pengerang, Kota Tinggi, berkata, sejak hari pertama kerja dijalankan tanah perkuburan tersebut diselubungi bau harum, namun dia menganggap itu sebagai paparan pengajaran untuk umat akhir zaman.

Sementara itu, Rahmah Mohd Zain, 77, waris kepada dua jasad yang tidak terusik tersebut berkata, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi seperti itu dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan Allah.

"Saya pernah tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat empat buah kubur waris saya iaitu kubur datuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki saya. Kubur kakak ipar, Senyum Salleh dan adik lelaki saya, Harun Mohd. Zain sahaja yang masih elok kain kafannya.
"Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi dikenali sebagai Mehran yang sewaktu hayatnya merupakan seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur ini. Arwah Mehran pula tidak pernah meninggalkan solat, di samping mengajar mengaji tanpa upah," katanya lagi.

JDT - Sumber utusan



Jumaat, 8 November 2013

350 kubur dipindah secara berperingkat

350 kubur dipindah secara berperingkat 
 A Rahim melihat kerja pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Batu Badak, semalam.


SEGAMAT - Sebanyak 350 kubur Islam di atas tanah yang terlibat pembinaan lebuh raya Segamat-Tangkak akan dipindahkan secara berperingkat ke lokasi baru bermula semalam.

Pegawai Daerah Segamat, A Rahim Nin berkata, dua tanah perkuburan di Batu Badak, di sini dan satu di Gemereh terlibat dalam proses pemindahan.

“Kubur-kubur lama ini akan ditempatkan di tanah perkuburan baru di Kampung Alai.

“Sebelum ini, kami mendapat persetujuan dan kebenaran daripada Mufti Johor," katanya.

A Rahim berkata, agensi kerajaan di daerah ini bersetuju termasuk Pejabat Daerah Segamat, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Katanya, waris terlibat pemindahan juga dihubungi dan diberitahu Majlis Agama Islam Johor (Maij), namun ada antara mereka tidak dapat dihubungi.

“Kepada waris-waris yang tidak dapat dihubungi hendaklah datang ke Pejabat Agama Islam Segamat kerana semua rekod dan rujukan terdapat di sana. Kerja-kerja pemindahan bermula semalam dan dijangka siap dalam masa sebulan.

“Maij juga melantik kontraktor berpengalaman untuk melakukan urusan pemindahan,” katanya.

Sementara itu, kontraktor, Jamaluddin Sapuan berkata, kerja-kerja dijangka mengambil masa sehingga sebulan dan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kalau musim hujan, kerja-kerja penggalian tidak dapat dilakukan dengan lancar kerana bimbang tanah yang digali runtuh dan menyukarkan kerja mencari tulang-tulang.

“Pekerja saya yang terlibat dalam kerja ini seramai 15 orang dan saya jangkakan setiap hari 30 kubur yang akan dipindahkan.

“Keluasan tanah kubur yang baru di Kampung Alai adalah seluas 1.2 ekar dan cukup untuk menampung kesemua 350 kubur ini malah boleh digunakan oleh penduduk tempatan jika ada kematian,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Kampung Gemereh Empat, Mohsin Ahmad, 75, berkata, kubur-kubur di Batu Badak itu sudah berusia lebih 100 tahun dan kebanyakannya kubur lama.

“Kubur-kubur di sini telah ada sejak saya kecil dan merupakan kawasan perkuburan lama sebelum tidak digunakan lagi setelah kawasan perkuburan ini penuh,” katanya.

JDT

Sabtu, 26 Oktober 2013

INTIPATI BAJET 2014


Berikut ialah intipati Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji".

Lima teras utama bajet ini ialah merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera kehidupan rakyat.

* Peruntukan RM264.2 bilion bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

* Sejumlah RM29 bilion diperuntukkan untuk sektor ekonomi.

* RM10.5 bilion bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM1.1 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kutipan hasil diunjurkan RM224.1 bilion, naik RM4 bilion * Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan berkurangan kepada 3.5 %, berbanding 4 % pada 2013.

* Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2013 dan 2014 untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, meliputi program promosi dan pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014, dengan sasaran 28 juta pelancong.

* Tahun 2015 diisytiharkan sebagai �Year of Festival .

* Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek

* Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk Peruntukan Operasi manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

* Pada 2014, kutipan perolehan Kerajaan Persekutuan dianggarkan RM224.1 bilion, peningkatan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

* Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

* Pelaburan swasta dijangkakan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus kepada KDNK, terutama dalam industri minyak dan gas, industri tekstil, peralatan pangangkutan dan pembangunan hartanah.

* Pelaburan awam dianggar mencecah RM106 bilion.

* Projek-projek yang akan dilaksanakan termasuk Lebuh Raya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316-kilometer.

* Projek pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh ke Padang Besar, Gemas ke Johor Bahru.

* Projek-projek yang dilaksanakan oleh Petronas termasuk Projek Ammonia Urea Sabah di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; projek loji regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID, Pengerang.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi pembangunan di lima wilayah koridor ekonomi.

* Projek Agropolitan dan industri berasaskan kelapa sawit akan dilaksanakan di Koridor Pembangunan Sabah, Taman Perindustrian Samalaju dan hab Halal di Koridor Wilayah Sarawak.

* Pelan Induk Sektor Perkhidmatan akan dilancarkan tahun depan.

* Pelan Induk Sektor Logistik dan Dasar Penerbangan Nasional akan digubalkan.

* Memperuntukkan pinjaman mudah RM3 bilion di bawah Dana Pembangunan Maritim menerusi Bank Pembangunan Malaysia.

* Menggantikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang, pusat pengurusan trafik udara baharu dengan kos RM700 juta akan dibina di KLIA.

* Menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan peruntukan RM312 juta.

* Terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Kuantan akan dinaik taraf.

* Melaksanakan fasa kedua projek HSBB dengan kerjasama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion.

* Kelajuan Internet akan dinaikkan kepada 10 Mbps.

* Meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

* Bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut akan dipasang dalam tempoh tiga tahun, melibatkan kos RM850 juta.

* Bank Negara Malaysia akan mengetuai usaha merangka Akta Penyelesaian bagi melindungi hak penguat kuasa 'close-out netting' menerusi kontrak kewangan.

* Memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Indeks Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

* Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Tanggungjawab Sosial Instrumen Sukuk.

* Mewujudkan Dana SRI yang dilabur dalam syarikat senaraian.

* Valuecap akan memperuntukkan RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi tinggi dalam indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

* Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan ditubuhkan untuk merancang serta menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

* Menyediakan peruntukan RM50 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

* Usahawan 1Malaysia (1MeT) yang komited akan diberi bimbingan lanjut di MaGIC.

* Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global Ke-5 dari 7-9 Nov, 2013.

* Bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang akan diuruskan oleh SME Bank.

* Dana itu akan menyediakan pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah empat peratus.

* Peruntukan RM120 juta bagi pakej bersepadu untuk meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS.

* Melanjutkan beberapa insentif di bawah program Green Lane Policy sehingga 31 Dis, 2017.

* Perbezaan gaji minimum yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Jan, 2014 hingga 31 Dis, 2014, akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

* Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan Outcome-Based Budgeting (OBB).

* Membuat pengauditan ke atas projek bernilai melebihi RM100 juta.

* Potongan Cukai Bulanan sebagai Cukai Muktamad, akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

* Perbezaan gaji minimum yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Jan, 2014 hingga 31 Dis, 2014, akan diberikan potongan cukai tambahan.

* Mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

* Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan Outcome-Based Budgeting (OBB).

* Membuat pengauditan ke atas projek bernilai melebihi RM100 juta.

* Potongan Cukai Bulanan sebagai Cukai Muktamad, akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

* Mewujudkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM akan menerajui inisiatif ini untuk mengelakkan pertindihan dan keciciran dalam pemberian bantuan kepada golongan sasar.

* Cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan dengan satu cukai sahaja yang dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

* Kadar GST ditetapkan pada 6 peratus dan akan berkuat kuasa mulai 1 April, 2015.

* GST tidak akan dikenakan bagi bagi bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

* Perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan daripada GST.

-- BERNAMA


Selasa, 22 Oktober 2013

HINA SULTAN JOHOR JURU UKUR BAHAN DIDENDA RM20,000

Seorang juruukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah menulis komen menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook Oktober tahun lepas. Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memerintahkan tertuduh, Ahmad Abd Jalil, 28, yang berasal dari Klang, Selangor, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Dia didakwa membuat komen yang jelik dengan niat menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat menggunakan aplikasi Facebook melalui akaun http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371 menggunakan nama profil 'Zul Yahya'. 

Kesalahan itu dilakukan di pejabatnya di RD Resources Sdn Bhd, 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur, pukul 6 petang pada 10 Oktober 2012. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata, apabila dia mendakwa tidak memuat naik gambar, tidak menghantar khidmat pesanan ringkas dan menafikan kaitan dengan Facebook terbabit serta tidak mengetahui Ibrahim Osman. Peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya tidak dihukum penjara dengan alasan Ahmad sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana manakala isterinya menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai 10 adik-beradik.

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya memandangkan kesalahan Ahmad adalah serius dan Sultan Johor pula merupakan individu berkedudukan tinggi. Keluarga tertuduh termasuk ibu dan bapanya hadir di mahkamah pada Isnin dan Ahmad membayar denda itu. Tiga puluh saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes itu bermula 5 Februari lepas. - BERNAMA

Isnin, 30 September 2013

Safee tidak dihukum: Azmi

Safee tidak dihukum: Azmi  

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menampan sepakan penalti Safee pada saingan suku akhir Piala Malaysia, kelmarin.
 
‘Saya harap dia bangkit ledak gol di Kota Bharu nanti’

Johor Bahru: Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Azmi Mohamed enggan menghukum Safee Sali di sebalik kegagalan penyerang kebangsaan itu menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Kelantan 4-2 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Walaupun akur JDT akan membawa bekalan lebih selesa sekiranya sepakan penalti pada minit ke-34 itu disempurnakan Safee, Azmi menyifatkan kegagalan berkenaan tidak perlu diungkit lagi kerana fokus harus dihalakan sepenuhnya bagi menghadapi aksi kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.
“Saya akui jika penalti Safee itu masuk, sudah tentu ia akan memberi kelebihan lebih selesa kepada kami apabila bertandang di Kota Bharu, tetapi ia sudah berlalu dan tidak perlu diperbesarkan lagi.

Aksi ‘hidup mati’

“Malah, saya tidak menyalahkan Safee kerana mungkin pada waktu itu dia berada dalam tekanan dan saya yakin dia sendiri sudah tentu kecewa kerana kegagalannya itu. Apa yang saya harap, dia bangkit menebusnya dengan meledak gol di Kota Bharu nanti,” katanya semalam.

Azmi berkata, dia akan menggunakan tempoh seminggu untuk memantapkan barisannya dan mengingatkan pemain supaya tidak terlalu gembira meraikan kemenangan ke atas juara bertahan itu kerana saingan masih berbaki 90 minit lagi.

“Banyak yang perlu diperbaiki lagi terutama di barisan benteng bagi memastikan gawang kami tidak mudah dibolosi sekali gus mempertahankan kelebihan yang ada. Saya yakin Kelantan pasti bangkit di Kota Bharu dan kami perlu lebih bersedia bagi menghadapi perlawanan ‘hidup mati’ itu,” katanya. 
 
-Bharian.

Jumaat, 27 September 2013

JOHOR FA 2013 ONLINE SHOP


  JOHOR FA 2nd AWAY


 JOHOR FA 2nd AWAY

  
JOHOR FA THIRD AWAY

Size : S-3XL
Color: Blue / Red dan Green
Cutting: Regular Fit
Material:Microfibre
Price: RM99.90

 
*All ORIGINAL by Kappa


Malaysia Cup Edition
JOHOR FA POLO T-SHIRT

Size : S-3XL
Color: Red/Black
Cutting: Regular Fit
Material:Microfibre
Price: RM79.90
 
*All ORIGINAL by Kappa



SILA IKUT ARAHAN UNTUK PEMBELIAN SECARA ONLINE :

1- Sila hantar email untuk Pertanyaan dan Pesanan ke email JDT johordarultakzimjdt@gmail.com

2- Hantar butiran pesanan :
    - Kod Baju :
    - Saiz :
    - Nama :
    - Alamat :
    - No Tel :
    - Qty :

3- Selepas maklumat di hantar kami akan menghantar maklumat stock dan pembayaran.
4- Semuanya melalui online sahaja.
5- Penghantaran melalui POS LAJU ( 2 hari )

# SELAGI STOCK MASIH ADA

Azmi lega tonggak utama JDT pulih

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Azmi Mohamed tampak gembira menjelang pertembungan menentang Kelantan pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini kerana beberapa tonggak utama sudah pulih daripada kecederaan.

Azmi yang dihubungi berkata, Leonel Nunez dan Safee Sali mula menjalani latihan dan kedua-dua pemain itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selepas diketepikan pada dua aksi Kumpulan B.

“Pemain memulakan latihan kelmarin dan saya lihat mereka bersemangat meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Malaysia. Petanda positif “Ini petanda positif dan saya juga lega selepas K Thanaraj sudah kembali menjalani latihan sekali gus memberi peluang untuk merencana strategi ampuh,” katanya semalam.

Bagaimanapun, Azmi tampak bersikap berhati-hati untuk memastikan kesebelasan utama yang bakal diturunkan mampu mengharungi 90 minit perlawanan dengan memberi lebih penekanan kepada latihan kecergasan selain merencana taktikal yang berkesan. “Kelantan memiliki kelebihan tersendiri apa pun persiapan JDT juga akan lebih mantap kerana kemenangan amat dicari apabila beraksi di laman sendiri,” katanya.

- Oleh Rizar Mohd Noor

Isnin, 16 September 2013

Lans Koperal Pernah Kata Nak Tembak Orang - Abang Ipar


LEDANG:  Lans Koperal Fadzly Omar, 29, yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak dirinya sendiri pernah menyatakan dia akan menembak seseorang sambil menunjukkan pistol dipinggangnya.


Perkara itu diberitahu abang iparnya Ezam Abdul Kadir, 34, ketika mereka bersembang pada hari raya bulan lalu.

Ezam memberitahu pemberita pada mulanya beliau menganggap perkara itu sebagai gurauan adik iparnya itu tanpa mengesyaki apa-apa.

"Saya fikir dia mahu menembak penjenayah atau peragut. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukan perkara itu," katanya di rumah mayat hospital di sini.


Dalam kejadian antara pukul 7 hingga 7.15 malam tadi itu, suspek bertindak menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, di rumah bapa mentuanya di Jalan Sialang, Padang Lerek 1 di sini sebelum menembak dirinya sendiri.

Sebelum itu suspek dengan menggunakan Revolver .38 menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis, Segamat sebelum memandu kereta dengan membawa anak lelakinya yang berumur dua tahun ke rumah bapa mentua yang terletak kira-kira 90 kilometer dari situ.

Ezam berkata sebaik tiba di rumah bapa mentuanya, adik iparnya itu lalu masuk ke dalam rumah dan meminta beliau dan adik perempuannya Norzafira, 26 keluar dan meninggalkan dia bersama bapanya di ruang tamu.

"Sewaktu saya di dapur dan baru hendak menyuap kuih ke dalam mulut, saya terdengar bunyi letupan seperti bunyi mercun. Saya menjenguk ke luar tingkap dan saya dapati tiada sesiapa pun yang bermain mercun. "Saya rasa tidak sedap hati dan terus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu dan ternampak ayah dan adik ipar saya terlentang berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata bapanya yang masih bernafas segera dikejarkan ke hospital oleh orang ramai dan meninggal sebaik tiba sementara adik iparnya itu mati di tempat kejadian.

Ezam mengakui hubungan antara suspek dengan isteri suspek agak dingin sejak kebelakangan ini kerana si isteri dikatakan tidak tinggal bersama suspek di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis.

"Adik saya akan pergi tinggal bersama pada setiap petang Jumaat selepas habis kerja dan pulang ke Tangkak pada petang Ahad. Petang Jumaat lalu, dia seperti biasa pergi menemui suaminya di Labis bersama anak lelakinya dan arwah ada meminta saya tinggalkan wang RM10 untuk bekalan ke sana. Itulah kali terkahir saya jumpa arwah," katanya.

Sementara itu ibu mentua suspek Rogayah Alip, 62, berkata menantunya itu seorang yang pendiam dan jarang bercampur dengan anggota keluarga mereka.

Beliau berkata semasa kejadian, beliau baru tiba di rumah setelah keluar membeli barang keperluan dapur bersama salah seorang anak lelakinya Mohamad Syarazi, 25.

"Sebaik keluar dari kereta, makcik terdengar bunyi dua kali letupan. Ingatkan bunyi mercun tetapi makcik terkejut apabila anak perempuan makcik Norzafira yang sedang bermain dengan anak lelaki arwah menjerit apabila ternampak ayah dan abang iparnya terbaring dengan berlumuran darah di dalam rumah," katanya.

Jenazah Norakmal dan Abdul Kadir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas waktu maghrib manakala jenazah Fadzly dibawa pulang ke Felda Palong 3, Negeri Sembilan.

Lans koperal tembak isteri dan bapa mertua di ledang

Lans Koperal guna Revolver .38 tembak isteri, bapa mentua

LEDANG: Seorang Lans Koperal polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam satu kejadian tragis semalam, menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .38 untuk menembak mangsa.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Harun Idris, berkata revolver itu adalah senjata yang dibekalkan kepada anggotanya untuk bertugas. Beliau berkata siasatan awal mendapati kematian suspek Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dan bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, berpunca daripada tembakan di kepala. "Suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mentuanya yang dikejarkan ke Hospital Tangkak oleh orang awam meninggal dunia kira-kira 8.15 malam sebaik saja tiba di hospital," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini, hari ini.

Harun berkata, suspek adalah seorang anggota polis yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya dan tidak pernah mempunyai rekod disiplin sepanjang tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu. Bagaimanapun, katanya, polis menyiasat dari pelbagai aspek dan akan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sementara itu, tinjauan mendapati rumah mangsa di Jalan Sialang di sini dipenuhi jiran tetangga dan sanak saudara sejak pagi untuk menziarahi keluarga Allahyarham Abd Kadir yang merupakan imam di kampung berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam semalam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya, Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi ke rumah bapa mentuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir 90 kilometer dari situ.

Dia dikatakan mencari ibu mentuanya tetapi gagal dan terserempak dengan Abdul Kadir yang ketika itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya. Suspek kemudian bertindak menembak diri sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah itu.

- BERNAMA

Jumaat, 13 September 2013

JB bakal jadi metropolitan baru


  • JB bakal jadi metropolitan baru

  • Keadaan bandar raya Johor Bahru yang padat dengan pembangunan.


    • JOHOR BHARU - Bandaraya Johor Bahru yang juga ibu negeri Johor adalah bandar raya kedua terbesar di negara ini, dengan jumlah penduduk melebihi 1.4 juta menjadikannya antara kota raya tumpuan.

      Ekonomi bandar raya ini dijana daripada sektor pelancongan, perindustrian dan perdagangan memandangkan kedudukannya di pintu masuk selatan Malaysia.

      Perkembangan perindustrian di Johor Bahru yang begitu pesat menjadikan ia sebagai salah satu pusat perindustrian yang terbesar di negara dengan pembukaan kilang-kilang industri memberi ruang rezeki kepada penduduk tempatan.

      Pusat beli-belah yang wujud di bandaraya ini juga didominasi pelancong Singapura yang melawat sambil mengambil kesempatan membeli belah susulan kadar tukaran mata wang Singapura yang semakin kukuh berbanding ringgit.

      Di bawah pelan induk Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda), Johor Bahru dijangka akan berkembang menjadi metropolitan besar dengan bilangan penduduk melebihi tiga juta orang menjelang 2025.

      Dalam tempoh 15 tahun, pemimpin bersilih ganti dan menyaksikan bandar raya ini dibahagikan kepada tiga parlimen iaitu Johor Bahru yang kini diterajui Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Nusajaya, Lim Kit Siang.

      Pembangunan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, terminal pengangkutan awam baru dan sebagainya antara yang dilaksanakan ketika itu.

      Bagi Adun Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru, pelbagai bentuk pembangunan telah dilaksanakan sebagai menyediakan kemudahan serta melengkapkan prasarana kepada seluruh penduduk Johor Bahru sekali gus memberi keselesaan kepada mereka.

      “Antara kemudahan yang dibina termasuklah Lebuh raya Lingkaran Penguraian Timur (EDL) , jalan raya bertingkat, sekolah, hospital, lebuh raya pesisir pantai dan sebagainya yang menjurus kepada pembangunan menyeluruh agar semua pihak menerima impaknya,” katanya.

      Beliau berkata, tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai kesan positif daripada pembangunan yang dilaksanakan namun rakyat turut menerima tempiasnya dengan peningkatan taraf hidup dari semasa ke semasa.

      “Antara yang ketara ialah harga atau sewa rumah yang tinggi. Meskipun pendapatan isi rumah adalah RM6,000 belum tentu mereka dapat membeli rumah dengan harga RM300,000 ke atas. Justeru, kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu miliki dengan nilai RM150,000 ke bawah supaya rakyat dapat memiliki aset sendiri,” katanya.

      Beliau berharap dengan pimpinan Menteri Besar baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Johor Bahru terus menikmati pembangunan dengan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi yang berumur 30 tahun ke bawah.

      “Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan penduduk ke negeri lain untuk mencari rezeki. Kalau di Dun saya, kawasan perindustrian agak kurang.

      “Kebanyakan penduduk menjana ekonomi dengan membuat perniagaan atau menyediakan perkhidmatan kepada para peniaga. Memang ada pusat latihan, tetapi peluang perniagaan agak kurang.

      “Dalam perancangan juga, kawasan perindustrian Larkin juga dalam masa lima hingga 10 tahun akan bertukar menjadi kawasan kediaman yang dikhuatiri akan meningkatkan harga rumah di kawasan tersebut.

      “Perkembangan ini dikhuatiri akan menjejaskan populasi penduduk kerana berkemungkinan orang Melayu akan keluar dari bandar untuk mencari rezeki di tempat lain. Jadi diharap Menteri Besar harus memberi perhatian kepada generasi muda,” katanya.

      Ahad, 8 September 2013

      Serlah kemesraan raja dan rakyat johor darul takzim

      Sultan Ibrahim Iskandar bersama kerabat diraja bergambar kenangan bersama para sekreteriat dan peserta yang menjayakan Kembara Mahkota Johor 2013 di Gelang Patah, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN 
       


      JOHOR BAHRU 5 Sept. - Setiap tahun Kembara Mahkota Johor (KMJ) sentiasa dinantikan oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.

      Malah, populariti acara tahunan yang diilhamkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang memasuki edisi ke-16 baru-baru ini mencerminkan betapa program 'Raja bertemu rakyat' itu sentiasa menjadi bualan rakyat negeri ini.

      Peluang menyertai konvoi sejauh 1,100 kilometer yang menjelajah ke semua 10 daerah di negeri itu memberi pengalaman berharga kerana dapat melihat dengan lebih dekat keindahan dan kehidupan masyarakat pelbagai kaum termasuk etnik Bugis, Jawa dan Orang Asli.

      Namun, yang paling utama dapat menyoroti sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Sultan Ibrahim setiap kali bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang berada di setiap laluan dan lokasi persinggahan konvoi berkenaan.
      Malah, Sultan Ibrahim tidak kekok untuk bersalaman, bergurau senda dan duduk berdampingan selain memasak dalam setiap program yang diaturkan.

      Kehadiran Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, putera-putera dan puteri baginda dalam beberapa acara yang diadakan turut menyerikan lagi majlis sempena KMJ 2013.

      Program bertemakan Kembara Ke Arah Perpaduan yang disertai sebanyak 393 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan berkereta itu turut disertai kerabat diraja dan para jemputan yang nyata mencapai misi selepas semua lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik Sarawak dan Sabah yang berada di negeri ini bersama-sama memeriahkan program tersebut.

      Pelepasan konvoi selama empat hari itu bermula dari pekarangan Menara Aqabah, Pasir Gudang dekat sini dan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala acara penutupan diadakan di Gelang Patah.

      Di setiap lokasi persinggahan, Sultan Ibrahim turut menyaksikan pelbagai acara yang diadakan termasuk pertandingan permainan tradisional serta mengagihkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
      Lebih bermakna dalam KMJ 2013 ialah sebanyak 60 cabutan bertuah diberikan kepada pemenang bertuah daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

      Bagi kaum Melayu, mereka dihadiahkan pakej menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah manakala kaum Cina dan India, masing-masing diberi pakej melancong ke China dan India.

      Sementara itu, Mohamed Khaled menyifatkan program berkenaan merupakan salah satu usaha terbaik mewujudkan hubungan dua hala antara pihak istana dan rakyat.

      "Program ini secara langsung mampu memperkukuhkan institusi Raja Berperlembagaan yang wajib dilindungi dan dipelihara dan program ini juga merupakan satu bukti nyata taat setia rakyat kepada sultan.

      "Johor amat bertuah kerana mempunyai sultan yang begitu prihatin terhadap keadaan rakyat jelata tidak kira di mana juga mereka berada," katanya.

      Mohamed Khaled berkata, selain mewujudkan hubungan dua hala antara istana dan rakyat, KMJ juga merupakan acara pelancongan utama negeri ini dan mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
      Malah, program itu juga, katanya, diberi pengiktirafan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu acara pelancongan utama bagi Tahun Melawat Malaysia 2014.

      Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
      utusan.johor

      Jumaat, 6 September 2013

      Generasi terakhir si penarik beca


      Generasi terakhir si penarik beca
      •  Jaafar setia menanti pelanggannya di Pasar Awam Maharani, di sini.

      MUAR – Keupayaan seorang warga emas mencari punca rezeki sebagai penarik beca pada usia senja amat mengagumkan, meskipun pernah melalui liku kehidupan mencabar akibat terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya lima tahun lalu.

      Kelibat Jaafar Abu, 72, dari Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong, bukanlah asing terutamanya kepada pengunjung di sekitar Pasar Awam Maharani kerana dia akan bekerja bermula dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi.

      Mengimbau kembali insiden itu, Jaafar menceritakan dia dilanggar sebuah motosikal ketika mengayuh beca di Jalan Maharani sehingga menyebabkan dia terlantar koma di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama dua minggu akibat kecederaan parah di kepala.

      “Saya sekali lagi diuji tiga bulan hilang ingatan sehingga saya tidak kenal seluruh ahli keluarga termasuk isteri sendiri.

      “Dalam tempoh itu juga, emosi selalu terganggu dan mula jadi seorang yang sensitif serta pemarah.

      Kasihan isteri, dia sering menahan sabar dengan karenah saya ketika itu,” katanya sambil tersenyum.

      Jaafar berkata, akibat pelanggaran itu dirinya mengalami kecacatan kekal iaitu masalah kurang pendengaran.

      Biarpun  begitu, dia tidak pernah berasa serik  dan kembali mengayuh beca setelah hampir setahun berehat kerana tidak betah meninggalkan pekerjaan itu yang sudah sebati dalam dirinya sejak 53 tahun lalu.

      Jaafar berkata, aktiviti itu sudah dikurangkan berikutan permintaan terhadap perkhidmatan beca di daerah ini semakin berkurangan bermula sejak lebih 10 tahun lalu.

      “Sehari nak dapat RM10 pun susah.  Tak macam dulu (sekitar 1970 hingga 1980an), beca menjadi pengangkutan utama di sini.

      “Dulu  daerah ini ada lebih 300 penarik beca.  Tapi sekarang tinggal empat penarik beca saja. Kami semakin dilupakan,” katanya.

      Kata Jaafar lagi, kini tumpuannya lebih kepada beca yang membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini. Barangan itu dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.

      “Seawal 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju.

      “Selepas hantar barang, saya akan bawa penumpang pula sementara menunggu jam 11 pagi untuk pulang ke rumah,” katanya.

      Katanya, selain itu dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga. Dalam pada itu, Jaafar bangga kerana  dapat membesarkan tujuh anaknya daripada hasil pendapatan sebagai penarik beca.

       #Sinar Harian 6 September 2013

      Khamis, 5 September 2013

      RM 10 JUTA BINA KAWASAN REKREASI

      LEDANG 3 Sept. - Kawasan rekreasi dan kolam mandi baharu akan dibina di Taman Hutan Lagenda di sini, dengan kos lebih RM10 juta bagi menambah kemudahan menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut. Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim berkata, kelulusan melakukan kerja-kerja berkenaan di kawasan kaki Gunung Ledang itu telah diperoleh dan diharap dapat dimulakan awal tahun depan.

      "Kerja-kerja ini akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan alam semula jadi di kawasan sekitarnya tidak terjejas atau mengalami kerosakan. Projek ini sudah dirancang sejak 2009 tetapi terpaksa ditangguhkan sebelum ini. "Kita hadkan pembangunan di Taman Hutan Lagenda. Sebarang bentuk pembangunan di Gunung Ledang akan dilakukan pada tahap minimum," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik 2013 di taman berkenaan, dekat sini hari ini.

      Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar.

      Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah tiga buah buku hasil kajian dan penyelidikan saintifik UiTM Shah Alam dan PTNJ di Taman Hutan Lagenda bertajuk 'Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity', 'Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment' dan 'A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks'. Dalam majlis itu, turut ditandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM Shah Alam yang diwakili Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat dan pihak kerajaan negeri diwakili Ayub bertujuan meneruskan kerjasama yang dipelopori sebelum ini. Suhairi berkata, dengan adanya kawasan rekreasi dan kolam mandi buatan itu akan mempelbagai kemudahan selepas pihaknya menaik taraf jalan utama dari pekan Sagil ke pintu masuk Taman Hutan Lagenda yang siap Februari tahun lalu. Beliau berkata, perbelanjaan untuk membina jalan tersebut kira-kira RM3 juta termasuk kos pengambilan tanah penduduk dan laluan itu kini terbukti meningkatkan lagi imej kawasan itu.

      Sementara itu, Ayub menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap kerjasama dan sebarang usaha membangunkan bidang kajian dan penyelidikan di negeri ini. "Hal ini selaras dengan matlamat penubuhan PTNJ dalam meneraju bidang pembangunan di Johor khasnya dan melalui usaha ini dapat memartabatkan nama negara di mata dunia setanding dengan negara-negara lain. "Saya berharap PTNJ akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk terus meneroka kekayaan khazanah dan kepelbagaian biologi yang kita miliki di negeri ini supaya dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

      Selasa, 3 September 2013

      Johor DT tetap hebat - TMJ

      Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain T-Team, Mohd. Hasbullah Awang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, kelmarin. 
       


      JOHOR BAHRU - Biarpun Johor Darul Takzim (JDT) tewas kepada T-Team 1-2 pada saingan Piala Malaysia kelmarin, namun pasukan itu tetap menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh 75 minit perlawanan.

      Pujian itu disuarakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang yakin sekiranya prestasi seperti itu dapat dikekalkan selama 90 minit, JDT sudah pasti mampu mengorak langkah lebih jauh.
      Beliau memuji pemain yang jelas menunjukkan komitmen tinggi dalam sepanjang perlawanan berlangsung.
      "Saya berpuas hati dengan tahap permainan yang ditunjukkan, walaupun akhirnya tewas disebabkan beberapa kesilapan. Walaupun keputusan itu sungguh mendukacitakan, namun JDT menunjukkan prestasi yang amat baik. Syabas juga diucapkan kepada pasukan T-Team," katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media di sini semalam.

      Pada perlawanan saingan Piala Malaysia bagi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini kelmarin menyaksikan JDT tewas 1-2 kepada T-Team.

      Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menghasilkan jaringan pertama perlawanan untuk tuan rumah apabila menembusi pertahanan kubu pertahanan The Titans dengan menggelecek dua pemain pada minit ke-44.

      Pemain T-Team, Abdul Latif Suhaimi pula menyamakan kedudukan pada minit ke-80 sebelum bekas pemain Hull City, George Boateng menghasilkan gol kemenangan pasukan pelawat dengan tandukan pada masa kecederaan.

      Khamis, 29 Ogos 2013

      Tunku Ismail minta hak, kepentingan penyokong dilindungi

       

      JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru supaya pihak bertanggungjawab melindungi hak dan kepentingan para penyokong industri bola sepak tempatan.

      Tunku Mahkota Johor itu berkata, para penyokong membelanjakan wang mereka membeli tiket bagi menyaksikan pasukan pilihan mereka beraksi.

      "Namun, apabila berlakunya rasuah atau perlawanan yang telah diatur, tentu sekali mereka berasa seolah-olah tertipu.

      "Ekoran itu, tidak mustahil para penyokong menjadi marah dan bertindak liar lantaran tidak terhibur dengan permainan yang dipersembahkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
      Tunku Ismail berkata, aksi permainan yang berkualiti telah 'dicuri' daripada penyokong dan akan berlarutan selagi badan pentadbir bola sepak negara dan para pegawai yang terlibat tidak mengambil sebarang langkah serius bagi menanganinya.

      Menurutnya, kemungkinan akan berlaku ketegangan antara penyokong, pengadil dan pemain apabila permasalahan berkenaan tidak dibendung secepat mungkin.
      "Apabila penyokong membuat sesuatu di luar jangkaan, maka adalah tidak produktif sekiranya tindakan keras ke atas penyokong dikenakan.

      "Justeru, saya menyeru agar ada pihak yang mampu melindungi hak, kepentingan dan keselamatan para penyokong yang menjadi pemangkin terhadap pembangunan dan kemajuan bola sepak tempatan.
      "Tanpa mereka, industri ini tidak akan wujud sama sekali," katanya.
      Beliau yakin, setelah permasalahan tersebut diatasi, keselamatan pengadil dan pemain tidak akan menjadi isu.

      © Utusan Melayu

      Rabu, 28 Ogos 2013

      Sultan Ibrahim melawat Ekomar di Mersing

      Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diiringi oleh Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin (kiri) mencemar duli melawat Ekomar, UKM sempena Kembara Mahkota Johor 2013 di Mersing, Johor, semalam. - BERNAMA 
       


      MERSING 27 Ogos - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Kembara Mahkota Johor 2013 (KMJ) meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) di Tanjung Kesang, dekat sini semalam.

      Baginda dan rombongan KMJ turut mendengar taklimat daripada penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai operasi dan fungsi pusat berkenaan.

      Turut berangkat menyertai konvoi hari ketiga KMJ 2013 itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

      Hadir sama, Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin dan Timbalannya (Hal Ehwal Prnyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rahmah Mohamed.

      Ekomar yang ditubuhkan pada 23 Mei 2007 di bawah kendalian Fakulti Sains dan Teknologi di kampus induk UKM, Bangi merupakan sebuah pusat untuk menggembleng penyelidikan dalam bidang ekosistem marin.

      Pusat tersebut menjalankan penyelidikan bersifat rentasan disiplin ilmu merangkumi sains tulen, sains sosial, sains kesihatan, ekonomi dan kejuruteraan.

      Ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ekosistem marin dan langkah-langkah kawalan dan pemuliharaan ekosistem marin.

      Ketua Ekomar, Dr. Shahriman Mohd. Ghazali berharap pusat tersebut dapat memberi impak yang tinggi kepada ekosistem marin di negeri ini khususnya di Mersing yang mempunyai banyak gugusan pulau dengan perairan dan hidupan marin yang menarik.

      Beliau berkata, majlis pecah tanah Ekomar disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad pada 3 Julai 2010 dan mula beroperasi pada 29 Mac 2012.

      Menurutnya, Ekomar dilengkapi pejabat, makmal, ruang penyelidikan, galeri dan pusat sumber.
      Beliau berkata, prasarana yang terdapat di Ekomar memudahkan 30 penyelidik dari pelbagai fakulti untuk mengembangkan penyelidikan masin-masing.

      Katanya, sejak Februari lalu, Ekomar telah dinamakan sebagai salah sebuah Makmal Hidup UKM dengan jangkauan operasi merentasi sempadan penyelidikan dan merangkumi aspek kemasyarakatan.

      JDT© Utusan Melayu

      Selasa, 27 Ogos 2013

      10 penduduk bersyukur terima rumah baharu sempena KMJ 2013

      Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertanyakan sesuatu kepada Mohamed Johar Mohamed Jaafar selepas menerima kunci rumah baharu ketika Kembara Mahkota Johor singgah di Kampung Sri Lukut, Kahang, Kluang, semalam. 
       


      KLUANG 26 Ogos - Penantian seorang warga emas untuk mendiami rumah baharu selepas kediaman asalnya di Simpang Renggam di sini, terbakar sejak tiga tahun lalu berakhir selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan kunci rumah kepadanya di Kampung Sri Lukut, di sini hari ini.

      Majlis penyampaian kunci tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Sultan Ibrahim ketika singgah di lokasi ketiga dan terakhir di daerah ini dalam sesi Kembara Mahkota Johor (KMJ) tahun ini.
      Ahmad Hussin, 65, berkata, berikutan tragedi itu, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah sementara.

      "Saya bersyukur kerana walaupun nasib tidak menyebelahi saya untuk membina semula rumah itu, namun Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membantu menyiapkan sebuah rumah bagi menggantikan dengan yang lama.

      "Lebih manis bagi kami sekeluarga, kunci rumah baharu ini disampaikan Sultan Ibrahim sendiri yang turut disaksikan oleh ahli keluarga baginda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
      Ahmad merupakan salah seorang daripada 10 penduduk yang menerima kunci rumah daripada Sultan Ibrahim dalam majlis tersebut.

      Seorang wakil penerima, Tumirah Samon, 70, pula bersyukur kerana anaknya yang merupakan ibu tunggal kepada sembilan anak akhirnya menerima rumah baharu yang dibina di Kampung Sri Lukut.
      Katanya, walaupun anaknya itu berada di Johor Bahru untuk menyelesaikan urusan penting tetapi mereka sekeluarga menghargai sumbangan Sultan Ibrahim dan Kejora.

      Sementara itu, warga emas, Mohamed Johar Mohamed Jaafar, 85, pula kini boleh meninggalkan rumah lama yang usang dan mendiami kediaman yang lebih selesa.

      "Walaupun saya, isteri dan dua anak yang berusia 22 dan 15 tahun sahaja yang menghuni rumah itu, namun ada kalanya timbul rasa tidak selesa kerana rumah tersebut telah usang dan perlu dibaiki.

      "Oleh kerana telah mendapat rumah baharu di Sri Lalang, kami berterima kasih kepada kesemua pihak yang menyiapkan rumah itu terutama Sultan Ibrahim yang menyerahkan kunci hari ini," katanya.

      Dalam majlis sama, Sultan Ibrahim turut menyampaikan 50 basikal kepada murid Sekolah Agama Kampung Contoh, Sekolah Agama Kahang Batu 28 dan Sekolah Agama Ladang Mutiara Kahang.

      © Utusan Melayu

      RM1.8j biayai 400 bakal haji Johor

      Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Perjumpaan Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, semalam. 
       


      JOHOR BAHRU 26 Ogos - Johor memperuntukkan RM1.8 juta untuk membiayai 400 bakal haji rombongan kerajaan negeri yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah tahun ini.

      Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua bakal jemaah yang menjadi tetamu Allah itu terdiri 230 jemaah lelaki dan 170 wanita dan merupakan petugas serta pesara kerajaan.
      Beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan kuota haji seramai 400 orang walaupun jumlah kuota yang diperuntukkan kepada negara telah diperkecilkan sebanyak 20 peratus.

      "Pelaksanaan ibadah haji bukan sahaja memerlukan kekuatan jasmani atau fizikal yang baik, malah kekuatan rohani perlu diperkuatkan dengan ilmu dan amal sebagai usaha untuk melahirkan insan yang cemerlang di Tanah Suci itu nanti.

      "Untuk itu, persediaan rohani dan jasmani perlulah seiring agar segala ibadah seperti tawaf, saie, wukuf di Arafah dan melontar Jamrah dapat dilaksanakan dengan baik serta penuh penghayatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1434H/2013M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

      Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

      Kesemua bakal haji rombongan kerajaan negeri itu merupakan antara 2,700 orang yang berpeluang mengerjakan Rukun Islam kelima berkenaan tahun ini dan akan berlepas dengan tujuh penerbangan mulai 9 September sehingga 5 Oktober ini.

      Mohamed Khaled turut menyeru semua jemaah supaya menitikberatkan aspek kesihatan ketika mengerjakan ibadah haji ekoran ketika ini Asia Barat secara amnya dan di negara Arab Saudi khususnya terdapat beberapa kes coronavirus iaitu sejenis penyakit selesema.

      "Kes itu bukan ditahap yang berbahaya tetapi adalah dinasihatkan dalam suasana orang yang berjuta-juta tertumpu pada satu tempat, kita perlu menjaga diri supaya tidak mudah dijangkiti penyakit yang akan mengganggu ibadah itu nanti," katanya.

      © Utusan Melayu

      KMJ 2013 Menggamit memori 31 tahun

      Gamit memori 13 tahun
      Tuanku menerima potret kenangan Almarhum Sultan Iskandar ketika Almrahum ayahanda baginda ke Chaah pada tahun 1982.


      LABIS - “Peristiwa 31 tahun lalu, menggamit memori apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan bertemu penduduk di sini,” kata bekas penghulu Mukim Chaah, Masduki Jarkasi.

      Masduki, 69, berkata, Almarhum Sultan Iskandar, pernah datang ke Chaah pada 1982, untuk mendekati rakyat dan peristiwa tersebut seperti berulang kembali apabila Sultan Ibrahim, singgah di Dewan Bola Keranjang, dalam lawatan Kembara Mahkota Johor (KMJ) ke Segamat, semalam.

      “Ketika itu, saya masih muda dan dapat melihat sendiri bagaimana Almarhum baginda begitu mesra dengan penduduk.
      “Paling saya tak lupa apabila Almarhum secara spontan meminjam basikal seorang penduduk India dan menunggangnya mengelilingi kawasan ini,” ceritanya.

      Ramai yang terkejut dengan tindakan spontan Almarhum tetapi ia mampu kerana menarik hati rakyat jelata.

      Sementara itu, ketua masyarakat Cina Chaah, Yong Soo Boon, 61, berkata, ketika kejadian, bapanya adalah ketua masyarakat Cina di situ dan dia yang juga masih muda ketika itu teruja dapat melihat Almarhum Sultan dan Sultan Johor sekarang yang ketika itu menjadi Tunku Mahkota Johor.

      “Saya tak sangka berpeluang jumpa Sultan Johor selepas mendiang bapa. Ia satu penghormatan apabila saya berpeluang menyerahkan potret Almarhum Sultan Iskandar yang menaiki basikal di Chaah kepada Sultan Johor.

      “Tapi sayangnya, basikal tersebut tidak tahu hilang entah ke mana. Kalau masih ada, mungkin boleh dijadikan tanda kenangan Almarhum Sultan Iskandar pernah melawat Chaah,” katanya.

      Sultan Ibrahim yang menerima potret berkenaan ternyata dapat mengingat dengan jelas peristiwa tersebut apabila menerangkan secara lancar kepada Soo Boon peristiwa 31 tahun lalu itu.

      DITAJA OLEH

      IKLAN BERBAYAR

      Kepada yang berminat untuk mengiklankan perniagaan dan Individu sila hantarkan pemohonan ke email :
      johordarultakzimjdt@gmail.com